Jumaat, 24 Februari 2017

Perlu masa untuk serasi – Baddrol

MOHAMMAD ROZAIDI ZULKIFLI  |  12 Oktober 2016 11:58 PM
 Pemain Malaysia, Baddrol Bakhtiar (kiri) mengasak pemain Afghanistan,Kanischka
Pemain Malaysia, Baddrol Bakhtiar (kiri) mengasak pemain Afghanistan,Kanischka Taher dalam perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam semalam yang berkesudahan seri 1-1. UTUSAN/Roy Azis Abd. Aziz
KUALA LUMPUR 12 Okt. - Ketua pasukan Baddrol Bakhtiar berharap penyo­kong bersabar dengan pres­tasi Harimau Malaysia ketika ini dan berkata dia dan rakan-rakannya masih dalam tempoh mencari keserasian berikutan ramai muka baharu dibawa masuk oleh Datuk Ong Kim Swee.

Katanya, pemain-pemain Harimau Malaysia telah mula menunjukkan tanda-tanda memahami dan serasi dengan satu sama lain ketika mereka seri 1-1 dengan Afghanistan di Stadium Shah Alam semalam dan pemain Kedah itu agak berpuas hati dengan aksi dipamerkan mereka.

Pemain tonggak Lang Merah itu berkata corak permainan yang dipamerkan barisan skuad negara semalam adalah berbeza berban­ding ketika menentang Singapura minggu lalu.

“Pertama sekali saya berpuas hati dengan persembahan rakan sepasukan malam ini (semalam) sebab kami masih lagi dalam pro­ses mencari keserasian antara satu sama lain.

“Ini kerana kami hanya berlatih bersama selama seminggu dan ada di antara kami baru bermain bersama jadi keputusan ini baik untuk pasukan. Pemain menjalankan tugas dengan baik seperti yang diarahkan oleh jurulatih.

“Dalam perlawanan dengan Singapura sebelum ini kami ba­nyak bertahan tetapi malam ini kami mengubah sedikit corak permainan iaitu bertahan dan me­nyerang.

“Kami melakukannya dengan baik dengan menjaringkan satu gol,” katanya kepada pembe­rita selepas tamat perlawanan persahabatan ketiga skuad kebangsaan semalam.

Baddrol yang bakal membuat persiapan mengharungi saingan separuh akhir kedua Piala Malaysia Sabtu ini bersama Kedah mengakui bahawa Afghanistan bermain pantas dan baik.

“Afghanistan sebuah pasukan yang kuat dan bermain laju tetapi kami berjaya mengekang asakan mereka dengan bertahan dengan baik dan mempunyai beberapa peluang untuk menjaringkan gol. Ini satu peningkatan yang baik untuk pasukan,” ujarnya.

Sumber-UTUSAN MALAYSIA ONLINE 12 Oktober 2016

Khamis, 23 Februari 2017

Baddrol tekad jaring gol setiap perlawanan

23 FEBRUARI 2017
 Baddrol Bakhtiar
Baddrol Bakhtiar Baddrol Bakhtiar
KAPTEN pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar tekad untuk menjaringkan gol pada setiap perlawanan Liga Super bagi musim 2017.

Walaupun bukan mudah, beliau berkata setiap jaringan dari pemain adalah amat penting bagi memastikan pasukan menang seterusnya mengutip tiga mata penuh.

"Jika peluang terhidang saya akan jaringkan gol kerana jaringan yang akan menentukan kemenangan pasukan saya dan seterusnya berada di takhta liga dengan selesa.

"Insya-ALLAH pada perlawanan Liga Super bertemu Pulau Pinang pada Sabtu ini saya akan menghasilkan sesuatu untuk memastikan Kedah kekal di tangga teratas liga," katanya ketika ditemui sewaktu program ramah mesra dengan pemain Kedah sempena Kejohanan Balapan dan Padang Sekolah Menengah Kebangsaan Jabi, di sini hari ini.

Turut hadir beberapa pemain Kedah seperti Mohd Rizal Ghazali, Mohd Ifwat Akmal, Muhammad Farhan Roslan, Muhammad Shafiq Ahmad dan Abdul Halim Saari.  

Setakat ini, Baddrol telah berjaya menjaringkan empat gol pada saingan Liga Super iaitu ketika bertemu JDT, Sarawak, Pahang dan Kelantan hingga membantu Kedah berada di kedudukan teratas liga dengan 11 mata. – Bernama

SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 23 FEBRUARI 2017