Khamis, 18 Mei 2017

Baddrol mula perang psikologi


Khamis, 18 Mei 2017 @ 9:42 PM
Oleh Syafiq Aznan syafiq.aznan@bh.com.my
PEMAIN, Baddrol Bakhtiar (tengah) menjalani sesi latihan bersama skuad bola sepak Kedah sebelum perlawanan akhir liga FA bersama pasukan Pahang di Stadium Shah Alam Sabtu ini. - Foto Shazreen Zamzuri ALOR SETAR:

'Jeneral' pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar mula melancarkan perang psikologi ke atas Pahang menjelang aksi final Piala FA Sabtu ini, apabila melabelkan skuad Helang Merah itu sebagai pasukan 'underdog'.

Pemain berusia 29 tahun itu berkata, situasi itu membolehkan mereka ke Stadium Shah Alam tanpa sebarang tekanan dengan segala persiapan untuk beradu tenaga melawan skuad Tok Gajah sudah dilakukan sebaik mungkin.

Bagaimanapun, pemain tengah kebangsaan itu mengakui rakan sepasukannya perlu menunjukkan persembahan lebih baik berbanding aksi di separuh akhir lalu untuk meraih piala kedua pada musim ini selepas muncul juara Piala Sumbangsih, Februari lalu.

"Persiapan berjalan dengan lancar dan kita juga sudah bersiap sedia sepenuhnya untuk berdepan Pahang. Pahang akan memberikan cabaran yang terbesar buat kami sepanjang kempen Piala FA musim ini.

"Jadi, kita perlu maju setingkat lebih tinggi berbanding tahap permainan ditunjukkan sebelum ini. Saya melihat Kedah boleh menunjukkan persembahan lebih memberangsangkan lagi pada final nanti.

"Apapun, kita tidak boleh terlalu yakin kerana peluang begitu terbuka tetapi kami akan cuba memberi yang terbaik pada aksi final Sabtu ini," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Stadium Darul Aman, hari ini. Aksi final di Stadium Shah Alam bakal menjadi final Piala FA keempat buat Baddrol yang menyaksikan dia mengumpul kejuaraan Piala FA pada 2007 dan 2008 dan dia kini mahu menamatkan penantian tujuh tahun untuk merangkul kembali Piala FA kali ini.

 "Kedah berjaya ke final selepas tujuh percubaan dan inilah peluang terbaik kerana sudah tiba masanya kami menamatkan penantian selama ini untuk membawa Piala FA kembali ke bumi Hijau Kuning," katanya.

Sumber-Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/284005

Tiada ulasan:

Catat Ulasan