Jumaat, 26 Mei 2017

Harimau Malaya dapat semangat baharu



Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
 
BADDROL yakin kehadiran semula empat rakannya ke pangkuan skuad kebangsaan mampu membawa perubahan menjelang aksi menentang Lebanon 13 Jun depan.

SKUAD Harimau Malaya kini mendapat semangat baharu selepas kehadiran semula empat pemain yang mengumumkan persaraan daripada pentas antarabangsa sebelum ini.

Kepulangan empat pemain skuad Johor Darul Ta’zim (JDT), Safiq Rahim, Mohamad Adil Zafuan Abd. Radzak, S. Kunanlan dan Amirulhadi Zainal ke pangkuan pasukan kebangsaan dilihat bakal memantapkan lagi Harimau Malaya yang kini dikendalikan jurulatih baharu, Nelo Vingada.

Menurut pemain tengah Harimau Malaya, Baddrol Bakhtiar, keputusan empat pemain tersebut untuk kembali menyarung jersi skuad kebangsaan merupakan langkah yang tepat ketika skuad negara kini sedang dalam persiapan menghadapi aksi kelayakan Piala Asia 2019 peringkat Kumpulan B menentang Lebanon di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin pada 13 Jun depan.

Jelas Baddrol lagi, pengalaman yang ada pada empat pemain ber­kenaan mampu membantu skuad negara melakar kejutan pada aksi menentang Lebanon nanti.

“Saya bukan merendah kemampuan pemain lain dalam skuad Harimau Malaya, tetapi pengalaman yang ada pada empat pemain JDT itu mampu membawa perubahan. Mereka memiliki pengalaman luas beraksi di pentas antarabangsa,” jelas Baddrol ketika dihubungi semalam.

Menurutnya, skuad Harimau Malaya kini boleh dikatakan sudah lengkap kerana memiliki pemain yang berkemampuan di semua posisi.

“Kepulangan mereka sentiasa dialu-alukan. Saya berpendapat ia secara tidak langsung memberikan satu persaingan sihat kepada rakan-rakan lain dalam pasukan.

“Mereka ada kualiti dan pengalaman yang berharga buat pasukan kebangsaan. Jadi, saya percaya kami akan bertambah lebih baik dan sudah pasti membantu menaik­kan semangat semua pemain bagi menghadapi Lebanon nanti,” kata­nya lagi.

Kosmo! sebelum ini melaporkan keempat-empat pemain skuad Harimau Selatan itu telah mengambil keputusan untuk bersara daripada skuad kebangsaan pada Julai tahun lalu.

Bagaimanapun, Safiq, Aidil, Kunanlan dan Amirulhadi membuat ‘pusingan U’ selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) me­lantik bekas jurulatih Arab Saudi, Vingada sebagai pengganti Datuk Ong Kim Swee yang kini ditugaskan menjadi jurulatih skuad Projek Sukan SEA 2017.

Dalam perkembangan sama, Baddrol mengakui tidak begitu mengikuti perkembangan Vingada tetapi telah bersedia untuk memberikan komitmen seratus peratus kepada jurulatih yang dikenali sebagai ‘The Professor’ itu

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0527&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4iECBFI5n
Hakcipta terpelihara

Selasa, 23 Mei 2017

Baddrol buru trofi Liga Super pula



 Baddrol BAKHTIAR (kanan) meraikan kejayaan menang Piala FA bersama
BADDROL BAKHTIAR (kanan) meraikan kejayaan menang Piala FA bersama Mohd. Rizal Ghazali selepas perlawanan akhir di Stadium Shah Alam Sabtu lalu.

23 Mei 2017 3:00 AM 
KUALA LUMPUR 22 Mei – Kejayaan menjulang Piala FA belum cukup untuk Baddrol Bakhtiar berpuas hati dan kini dia bertekad untuk memburu satu lagi trofi pada musim ini.

Baddrol dinobatkan sebagai Pemain Terbaik dalam perlawanan akhir Piala FA di Shah Alam kelmarin. Kedah menumpaskan Pahang 3-2 dalam perlawanan itu dengan pemain tengah itu menja­ringkan dua gol.

Kini Baddrol berkata sasarannya seterusnya adalah untuk merangkul kejuaraan Liga Super.

Katanya lagi, selain dapat menceriakan penyokong Kedah, hasratnya untuk menghadiahkan Piala FA kepada orang yang paling banyak mendorong dirinya menjadi pemain bola sepak berjaya ia­itu ibunya Siti Rokibah Najamudin turut tercapai.

“Malam itu menjadi milik Kedah. Tahniah untuk Pahang yang memberi saingan sengit. Saya gembira kerana dapat tunaikan hajat saya untuk menghadiahkan piala ini kepada ibu saya yang menyambut hari kelahirannya pada malam itu.

“Kemenangan ini untuk semua penyokong Kedah. Saya begitu gembira dapat menjaringkan dua gol.

“Sememangnya menjadi sasaran saya untuk memenangi Liga Super pada tahun ini dan untuk Piala Malaysia pula kami akan cuba memberi fokus mempertahankannya,” katanya.

Dalam pada itu, Baddrol menyifatkan kejayaannya dipilih sebagai Pemain Terbaik Perlawanan adalah hasil usaha keras bersama rakan sepasukannya dan dia turut menyifatkan kejayaan merangkul Piala FA pada kali ini berbeza se­perti yang dilakukan pemain berusia 29 tahun itu pada 2007 dan 2008.

“Ini adalah hasil titik peluh dan kerjasama saya bersama rakan sepasukan. Anugerah itu bukan untuk saya seorang sebaliknya kepada pasukan, pengurusan dan penyokong yang sentiasa memberi sokongan.

“Perbezaan pada tahun ini berbanding merangkul kejuaraan double treble adalah pada waktu itu saya masih berada dalam skuad pelapis dan tahun ini saya bermain sebagai pemain senior,” katanya

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/baddrol-buru-trofi-liga-super-pula-1.484872#ixzz4htFUJUdo
© Utusan Melayu (M) Bhd

Khamis, 18 Mei 2017

Baddrol mula perang psikologi


Khamis, 18 Mei 2017 @ 9:42 PM
Oleh Syafiq Aznan syafiq.aznan@bh.com.my
PEMAIN, Baddrol Bakhtiar (tengah) menjalani sesi latihan bersama skuad bola sepak Kedah sebelum perlawanan akhir liga FA bersama pasukan Pahang di Stadium Shah Alam Sabtu ini. - Foto Shazreen Zamzuri ALOR SETAR:

'Jeneral' pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar mula melancarkan perang psikologi ke atas Pahang menjelang aksi final Piala FA Sabtu ini, apabila melabelkan skuad Helang Merah itu sebagai pasukan 'underdog'.

Pemain berusia 29 tahun itu berkata, situasi itu membolehkan mereka ke Stadium Shah Alam tanpa sebarang tekanan dengan segala persiapan untuk beradu tenaga melawan skuad Tok Gajah sudah dilakukan sebaik mungkin.

Bagaimanapun, pemain tengah kebangsaan itu mengakui rakan sepasukannya perlu menunjukkan persembahan lebih baik berbanding aksi di separuh akhir lalu untuk meraih piala kedua pada musim ini selepas muncul juara Piala Sumbangsih, Februari lalu.

"Persiapan berjalan dengan lancar dan kita juga sudah bersiap sedia sepenuhnya untuk berdepan Pahang. Pahang akan memberikan cabaran yang terbesar buat kami sepanjang kempen Piala FA musim ini.

"Jadi, kita perlu maju setingkat lebih tinggi berbanding tahap permainan ditunjukkan sebelum ini. Saya melihat Kedah boleh menunjukkan persembahan lebih memberangsangkan lagi pada final nanti.

"Apapun, kita tidak boleh terlalu yakin kerana peluang begitu terbuka tetapi kami akan cuba memberi yang terbaik pada aksi final Sabtu ini," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Stadium Darul Aman, hari ini. Aksi final di Stadium Shah Alam bakal menjadi final Piala FA keempat buat Baddrol yang menyaksikan dia mengumpul kejuaraan Piala FA pada 2007 dan 2008 dan dia kini mahu menamatkan penantian tujuh tahun untuk merangkul kembali Piala FA kali ini.

 "Kedah berjaya ke final selepas tujuh percubaan dan inilah peluang terbaik kerana sudah tiba masanya kami menamatkan penantian selama ini untuk membawa Piala FA kembali ke bumi Hijau Kuning," katanya.

Sumber-Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/284005