BADDROL BAKHTIAR (kanan)
meraikan kejayaan menang Piala FA bersama Mohd. Rizal Ghazali selepas
perlawanan akhir di Stadium Shah Alam Sabtu lalu.
23 Mei 2017 3:00 AM
KUALA LUMPUR 22 Mei – Kejayaan
menjulang Piala FA belum cukup untuk Baddrol Bakhtiar berpuas hati dan kini dia
bertekad untuk memburu satu lagi trofi pada musim ini.
Baddrol dinobatkan sebagai
Pemain Terbaik dalam perlawanan akhir Piala FA di Shah Alam kelmarin. Kedah
menumpaskan Pahang 3-2 dalam perlawanan itu dengan pemain tengah itu
menjaringkan dua gol.
Kini Baddrol berkata sasarannya
seterusnya adalah untuk merangkul kejuaraan Liga Super.
Katanya lagi, selain dapat
menceriakan penyokong Kedah, hasratnya untuk menghadiahkan Piala FA kepada
orang yang paling banyak mendorong dirinya menjadi pemain bola sepak berjaya
iaitu ibunya Siti Rokibah Najamudin turut tercapai.
“Malam itu menjadi milik Kedah.
Tahniah untuk Pahang yang memberi saingan sengit. Saya gembira kerana dapat
tunaikan hajat saya untuk menghadiahkan piala ini kepada ibu saya yang
menyambut hari kelahirannya pada malam itu.
“Kemenangan ini untuk semua
penyokong Kedah. Saya begitu gembira dapat menjaringkan dua gol.
“Sememangnya menjadi sasaran
saya untuk memenangi Liga Super pada tahun ini dan untuk Piala Malaysia pula
kami akan cuba memberi fokus mempertahankannya,” katanya.
Dalam pada itu, Baddrol
menyifatkan kejayaannya dipilih sebagai Pemain Terbaik Perlawanan adalah hasil
usaha keras bersama rakan sepasukannya dan dia turut menyifatkan kejayaan
merangkul Piala FA pada kali ini berbeza seperti yang dilakukan pemain berusia
29 tahun itu pada 2007 dan 2008.
“Ini adalah hasil titik peluh
dan kerjasama saya bersama rakan sepasukan. Anugerah itu bukan untuk saya
seorang sebaliknya kepada pasukan, pengurusan dan penyokong yang sentiasa
memberi sokongan.
“Perbezaan pada tahun ini
berbanding merangkul kejuaraan double treble adalah pada waktu itu saya masih
berada dalam skuad pelapis dan tahun ini saya bermain sebagai pemain senior,”
katanya
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/baddrol-buru-trofi-liga-super-pula-1.484872#ixzz4htFUJUdo
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan