Ahad, 17 Disember 2017

Fadzli, Baddrol diketepikan

ARKIB : 21/01/2009
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my
PETALING JAYA – Jurulatih negara, B. Sathianathan (gambar) menggugurkan dua lagi pemain, Fadzli Saari dan Baddrol Bakhtiar daripada senarai 18 terakhir bagi menghadapi Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam perlawanan bola sepak Kumpulan C Kelayakan Piala Asia 2011, malam ini.

Katanya, keputusan menggugurkan pemain tengah KL PLUS dan sayap kanan Kedah itu bukan bererti mereka tidak bagus tetapi hasil ujian kecergasan mendapati kedua-duanya tidak mencapai tahap yang dikehendaki bagi bermain pa

da perlawanan antarabangsa.

“Farizal Marlias pula diletakkan sebagai simpanan jika sebarang kejadian berlaku kepada dua penjaga gol utama kita, Syamsuri Mustafa dan Syed Adney Syed Hussein,” katanya pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Menurut Sathianathan, ujian berkenaan turut mengesan hanya tiga pemain negara yang mencapai tahap cemerlang untuk menyertai perlawanan antarabangsa yang setaraf aksi sulung kelayakan menentang UAE di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.

“Saya tidak boleh dedah siapa yang berkenaan tetapi saya tidak akan menjadikan alasan pemain kurang cergas dengan sebarang keputusan perlawanan itu nanti. Saya tahu Liga Malaysia baru bermula dan mungkin ada jurulatih yang tidak mahu pemainnya memuncak terlalu awal.

“Namun, jika pemain mengekalkan disiplin dan mematuhi arahan serta berjuang habis-habisan apatah lagi dengan kelebihan bermain di gelanggang sendiri, saya percaya kami masih mempunyai peluang untuk menang,” ujarnya.

Katanya, UAE diakui mempunyai serba-serbi kelebihan terutama dari segi ranking dunia, tahap persediaan dan kemampuan pemain tetapi ia tidak bererti mereka tidak boleh diatasi.

“Memang pengaruhnya di padang tidak akan setanding ketua pasukan asal, Shukor Adan (digugurkan kerana kecederaan) yang bagi saya umpama jeneral yang sering dihormati rakan sepasukan dan sentiasa konsisten serta berani merebut bola.

“Dalam posisi lama Shukor, saya harapkan Indra Putra Mahayuddin mampu mengulangi aksi cemerlang seperti ketika Piala Suzuki AFF, bulan lalu dan dibantu oleh Hardi dengan kepintarannya dalam mengemudikan bahagian tengah bertahan itu,” katanya.

Sementara itu, Hardi yang diberi kepercayaan di posisi baru tersebut, mengakui rentak pasukan bakal berbeza tanpa Shukor tetapi yakin dia mampu menjayakan tugas itu seperti mana ketika beraksi dengan Selangor dalam Liga Super, baru-baru ini.

“Saya dan Indra akan menilai keadaan perlawanan dengan UAE untuk bertindak sama ada secara bertahan atau menyerang dari situ. Memang lawan mempunyai pemain yang bersaiz lebih besar tetapi bagi saya, ia bukan masalah besar.

“Kami turut mengintai dan berjanji untuk memanfaatkan sekiranya muncul sebarang peluang yang boleh menghasilkan gol menerusi gerakan bola mati (sepakan bebas atau sepakan sudut),” katanya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0121&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz51WLz5rtO

© Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 6 Disember 2017

Piala AFC: Kedah tersingkir dengan agregat 7-1

ARKIB : 24/09/2008
Oleh SHARIZA ABDULLAH
 
pemain kedah, Baddrol Bakhtiar (kiri) bersaing dengan lawannya dari Muharraq, Mahmood Abdul Rahman dalam pertemuan suku akhir kedua di Alor Star, malam tadi. Kedah tewas 1-2.

ALOR SETAR - Seperti diramal Kedah tersingkir daripada Kejohanan Piala AFC apabila tewas 1-2 kepada kelab Bahrain, Muharraq FC pada perlawanan suku akhir kedua di Stadium Darulaman, semalam.

Keputusan itu menjadikan Muharraq menang secara agregat 7-1 ke atas Kedah selepas menang besar 5-0 dalam perlawanan pertama di Manama, Bahrain minggu lalu.

Tanpa kelibat pemain import yang terpaksa meninggalkan saingan liga tempatan, Kedah jelas pincang di jentera serangan.

Kelebihan selaku tuan rumah gagal dimanfaatkan, sebaliknya pelawat selesa mendahului 2-0 dalam babak pertama menerusi import dari Brazil, Leandson Dias Da Silva pada minit ke-29 dan 40.

Kedah bermula garang pada awal permainan dengan melancarkan percubaan menerusi Mohd. Fadly Baharum pada minit keenam tetapi percubaannya berjaya ditepis oleh penjaga gol Muharraq, Abdullah Mohamed Hazza.

Selepas mengusai perlawanan pada 20 minit awal, Kedah kelihatan longlai dan menerima tamparan hebat apabila Leandson menjaringkan gol pertama Muharraq.

Leanson menerima hantaran cantik dari Mohamed Yusof Salmeen yang mengelecek beberapa pemain pertahanan Kedah sebelum itu.

Pintu gol Kedah bocor buat kali kedua kali ini menerusi sepakan penalti yang berjaya disempurnakan oleh Leandson selepas penjaga gol Kedah, Helmi Eliza Elias menjatuhkan Mohamed Jaafar Alzain.

Akhirnya Kedah berjaya menjaringkan gol sagu hati pada minit ke-69 menerusi tandukan Fadly hasil sepakan penjuru yang diambil oleh Baddrol Bakhtiar.

Selepas jaringan tersebut, Kedah mula menguasai perlawanan tatkala pemain Muharraq keletihan, namun tiada tambahan jaringan dapat dilakukan oleh pasukan Kenari itu.

Turut hadir menyaksikan perlawanan itu ialah Sultan Kedah, Tunku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan kira-kira 5,000 penyokong yang hadir memberi sokongan.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0924&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz50TJxLdJ9

© Utusan Melayu (M) Bhd