Rabu, 6 Disember 2017

Piala AFC: Kedah tersingkir dengan agregat 7-1

ARKIB : 24/09/2008
Oleh SHARIZA ABDULLAH
 
pemain kedah, Baddrol Bakhtiar (kiri) bersaing dengan lawannya dari Muharraq, Mahmood Abdul Rahman dalam pertemuan suku akhir kedua di Alor Star, malam tadi. Kedah tewas 1-2.

ALOR SETAR - Seperti diramal Kedah tersingkir daripada Kejohanan Piala AFC apabila tewas 1-2 kepada kelab Bahrain, Muharraq FC pada perlawanan suku akhir kedua di Stadium Darulaman, semalam.

Keputusan itu menjadikan Muharraq menang secara agregat 7-1 ke atas Kedah selepas menang besar 5-0 dalam perlawanan pertama di Manama, Bahrain minggu lalu.

Tanpa kelibat pemain import yang terpaksa meninggalkan saingan liga tempatan, Kedah jelas pincang di jentera serangan.

Kelebihan selaku tuan rumah gagal dimanfaatkan, sebaliknya pelawat selesa mendahului 2-0 dalam babak pertama menerusi import dari Brazil, Leandson Dias Da Silva pada minit ke-29 dan 40.

Kedah bermula garang pada awal permainan dengan melancarkan percubaan menerusi Mohd. Fadly Baharum pada minit keenam tetapi percubaannya berjaya ditepis oleh penjaga gol Muharraq, Abdullah Mohamed Hazza.

Selepas mengusai perlawanan pada 20 minit awal, Kedah kelihatan longlai dan menerima tamparan hebat apabila Leandson menjaringkan gol pertama Muharraq.

Leanson menerima hantaran cantik dari Mohamed Yusof Salmeen yang mengelecek beberapa pemain pertahanan Kedah sebelum itu.

Pintu gol Kedah bocor buat kali kedua kali ini menerusi sepakan penalti yang berjaya disempurnakan oleh Leandson selepas penjaga gol Kedah, Helmi Eliza Elias menjatuhkan Mohamed Jaafar Alzain.

Akhirnya Kedah berjaya menjaringkan gol sagu hati pada minit ke-69 menerusi tandukan Fadly hasil sepakan penjuru yang diambil oleh Baddrol Bakhtiar.

Selepas jaringan tersebut, Kedah mula menguasai perlawanan tatkala pemain Muharraq keletihan, namun tiada tambahan jaringan dapat dilakukan oleh pasukan Kenari itu.

Turut hadir menyaksikan perlawanan itu ialah Sultan Kedah, Tunku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan kira-kira 5,000 penyokong yang hadir memberi sokongan.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0924&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz50TJxLdJ9

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan