Khamis, 28
March 2019 | 12:45am

KAPTEN Kedah,
Baddrol Bakhtiar. - Foto Amran Hamid
Kami sudah
sedia cabar JDT - Baddrol Bakhtiar
KUALA LUMPUR:
Kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar berharap skuad Helang Merah dapat mempertahankan
rekod tanpa bolos bermain di tempat sendiri menjelang aksi sengit bertemu juara
bertahan Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Darul Aman, Alor Setar
Jumaat ini.
Bekas pemain
kebangsaan itu bagaimanapun sedar ia bukan satu tugas yang mudah berdepan JDT
yang memiliki rekod jaringan cemerlang selepas meledak 16 gol sepanjang enam
perlawanan Liga Super pada musim ini.
Sebagai rekod,
Kedah mencatatkan kemenangan 4-0 ke atas FELDA United dan seri tanpa jaringan
bertemu PKNS FC dalam dua aksi di tempat sendiri setakat ini.
"Sudah
pasti aksi bertemu JDT sentiasa memberikan saingan dan saya berharap kami masih
berupaya mempertahankan rekod tanpa bolos di (Stadium) Darul Aman nanti.
“Ia sedikit
sebanyak memberikan motivasi kepada kami tetapi kami sedar bahawa ia bukan satu
tugas yang mudah apabila JDT memiliki rekod jaringan yang lebih baik tetapi
kami telah bersedia untuk memberikan cabaran dalam misi merakamkan keputusan
positif," katanya.
Dalam pada
itu, Baddrol berharap aksi berdepan skuad Harimau Selatan dapat dijadikan medan
kebangkitan Kedah selepas mereka tewas 0-1 kepada Pahang di Stadium Darul
Makmur, Kuantan 8 Mac lalu.
"Kedah
mahu kekal lebih konsisten dan saya akui kecewa apabila kami tewas kepada
Pahang pada perlawanan terdahulu dan sudah pasti Kedah mahu mendapatkan tiga
mata bertemu JDT.
“Namun harus
diingatkan bahawa JDT adalah antara salah satu pasukan terbaik di negara dan
seperti saya katakan tadi, ia bukan satu tugas yang mudah tetapi dalam masa
yang sama kami tetap berusaha untuk mencapai satu keputusan positif itu nanti,”
kata anak jati Sungai Petani itu.
Kedah kini
menduduki tangga ketiga Liga Super dengan kutipan 11 mata manakala JDT dan
Pahang, masing-masing berada di tangga pertama dan kedua dengan pungutan 16
mata dan 14 mata selepas enam perlawanan setakat ini.
-- BERNAMA
SUMBER-BERITA
HARIAN ONLINE Khamis, 28 March 2019 | 12:45am