MyMetroArena

Rizar Mohd Noor
rizar@mediaprima.com.my
“KAMI ada 90 minit perlawanan dan
apa-apa sahaja boleh terjadi,” itu yang dikatakan kapten Kedah, Baddrol
Bakhtiar yang tampak optimis rakan sepasukannya mampu mengimbangi kekuatan
Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi pembuka tirai Liga Super dan juga perebutan
Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim malam esok.
Baddrol berkata, tumpuan 90 minit
perlawanan menjadi penentu untuk Kedah bagi mencipta kejutan ke atas JDT dan
berharap rezeki memihak skuad Lang Merah untuk meraih keputusan positif
walaupun sedar agak sukar untuk menumbang skuad yang berstatus juara liga enam
musim berturut-turut.
“Jika semua perancangan taktikal membuahkan
hasil, tidak mustahil Piala Sumbangsih akan di bawa pulang ke negeri Jelapang
Padi. Justeru faktor beraksi dengan penuh semangat dan tidak gentar bukan
sahaja berdepan JDT tapi pemain ke-12 iaitu penyokong mereka harus
diketepikan,” katanya.
Ditanya mengenai pertembungan dia
dan Liridon Krasniqi pada perlawanan itu taktala kedua-dua pemain itu pernah
beraksi bersama enggan memikirkan kelibat pemain naturalisasi JDT itu.
Sebaliknya, dia mahu memikirkan
corak permainan JDT terutama kesebelasan utama pasukan itu malah persiapan
Kedah juga tidak berdepan masalah tatkala lebih mengutamakan taktikal.
Sementara itu, kapten JDT, Hariss
Harun menegaskan aksi pembuka tirai Liga Super cukup penting buat skuad itu
untuk memulakan saingan dengan langkah kanan dan juga mahu mengekalkan Piala
Sumbangsih di Johor.
Hariss juga berpendapat betapa
Kedah bukan calang-calang pasukan dan setiap pemain JDT harus berwaspada
apabila kedua-dua pasukan bertembung pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim,
Iskandar Puteri, malam esok.
Katanya, pada musim lalu, JDT
menutup tirai liga dengan memenangi Piala Malaysia dan pada musim baharu
keinginan untuk memulakan saingan dengan kemenangan tiga mata dan menjulang
piala tampak begitu menebal.
“Enam musim berturut-turut JDT
beraksi di pentas Piala Sumbangsih dan pastinya ia pencapaian membanggakan.
Tiga mata pertama tatkala beraksi di ‘rumah baharu’ sememangnya harus
menjelmakan kemenangan.
“Aksi menentang Kedah, kami harus
fokus melebihi 100 peratus dan tidak mahu memikirkan pencapaian yang lalu
kerana kemenangan mampu melonjak moral pemain bagi mengharungi saingan liga
nanti dan kami ada tanggungjawab yang perlu dipikul,” katanya.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada :
Khamis, 27 Februari 2020 @ 11:40 PM