
PEMAIN Kedah, Liridon Krasniqi
(kanan) dan rakan sepasukan, Baddrol Bakhtiar (tengah) masing-masing menerima
hukuman oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM. - Foto Osman Adnan
Liridon digantung, Baddrol diberi
amaran keras
Oleh Zulfaizan Mansor
zulfaizan@nstp.com.my
KUALA LUMPUR: Tonggak import
Kedah, Liridon Krasniqi digantung dua perlawanan termasuk satu penggantungan
automatik oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas didapati bersalah
menyiku leher pemain Perak, Leandro Dos Santos pada aksi Liga Super, 7 Februari
lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib
FAM, Datuk Baljit Singh Sidhu menjelaskan Liridon turut didenda RM1,500 dan
diberi amaran keras dengan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika
mengulangi kesalahan sama.
"(Liridon bersalah kerana)
melanggar Artikel 50.1(d) yang dibaca bersama dengan Artikel 18.4 Kod
Tatatertib FAM dan hukuman itu tidak boleh dirayu," kata Baljit dalam
kenyataan, hari ini.
Seorang lagi pemain Kedah,
Baddrol Bakhtiar hanya diberi amaran keras selepas melanggar Artikel 59 Kod
Tatatertib FAM akibat daripada tindakannya berkelakuan yang menyinggung pada
perlawanan sama.
Selain itu, pemain MIFA, G
Mughentirran juga digantung dua perlawanan termasuk satu penggantungan
automatik serta diberi amaran keras atas tindakan ganas menampar pemain Kuantan
FA, Andre Fransisco William pada aksi Liga Perdana, 6 Februari lalu.
Penolong Pengurus Pasukan PKNP
FC, Mohd Arfrenddy Arasad pula menerima hukuman lebih berat apabila digantung
tiga perlawanan termasuk satu penggantungan automatik, didenda RM3,000 serta
diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi
kesalahan sama.
Mohd Arfrenddy didapati melanggar
Artikel 51.1(a) yang dibacakan bersama Artikel 18.4 dan Artikel 59 Kod
Tatatertib FAM atas tindakannya mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pengadil
perlawanan ketika aksi PKNP FC menentang Kedah pada 11 Februari lalu.
Menerusi kenyataan sama, Baljit
turut mengesahkan Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) dan Persatuan Bola sepak
Pulau Pinang (FAP) dikenakan denda RM3,000 dan RM1,500.
FAS didapati melakukan dua
kesalahan apabila gagal membayar tunggakan RM60,000 kepada pemain sayap, K
Thanaraj dan RM58,000.00 yang dituntut Mohd Iqbal Mohd Suhimi.
Baljit menjelaskan FAS didenda
RM1,500 bagi setiap satu kesalahan itu dan diarahkan untuk menjelaskan kesemua
jumlah tunggakan dalam tempoh 30 hari dari tarikh penerimaan keputusan
berkenaan.
FAP pula didapati gagal menjelaskan
jumlah bonus tertunggak sebanyak USD13,500 (RM52,855) kepada Frank Van Ejis dan
Laszlo Kleber serta USD17,500 (RM68,516) kepada Soleye Ranti Martins.
Kesalahan itu menyaksikan FAP
didenda sebanyak RM1,500 dan diberi tempoh sama seperti FAS untuk menyelesaikan
segala tunggakan itu.
FAS dan FAP turut diberi amaran
keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika gagal atau enggan
mematuhi tempoh yang diberikan dengan hukuman berkenaan tidak boleh dirayu.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Jumaat,
23 March 2018 | 6:25pm
Tiada ulasan:
Catat Ulasan