ARKIB : 20/04/2008
KUALA LUMPUR – Presiden
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah tertarik dan kagum
dengan program latihan disediakan kelab Liga Perdana England, Chelsea buat dua
pemain bola sepak Malaysia yang sedang menjalani latihan dengan pasukan itu.
Kedua-duanya, Bunyamin Umar dan
Baddrol Bakhtiar kini menjalani program latihan dua minggu dengan pasukan
remaja kelab itu di bawah pengelolaan jurulatih, Brendan Rodgers.
Menurut laman web rasmi FAM,
Sultan Ahmad Shah mengetuai delegasi empat pegawai FAM melawat kemudahan dan
padang latihan milik Chelsea di Cobham itu, Khamis lalu.
‘‘Menjadi harapan menggunung
kita agar Chelsea terus menerima pemain kita (Malaysia) secara ditumpangkan.
Kami menghargai kesediaan Chelsea berkongsi pengetahuan mereka dalam acara
sukan ini,” titah Sultan Ahmad Shah.
Menurut Sultan Ahmad Shah, FAM
turut berbesar hati menerima kunjungan Chelsea ke Kuala Lumpur pada 29 Julai
ini.
Sultan Ahmad Shah dan rombongan
diberikan taklimat berhubung projek itu yang direka bagi menyatukan semua
aktiviti di Chelsea dengan corak latihan `ala kampus’ termasuk menyediakan
persekitaran baik bagi pemain yang berpotensi.
Delegasi Malaysia kemudiannya
dibawa menghadiri majlis makan tengah hari dan antara tetamunya ialah jaguh
Ivory Coast, Didier Drogba serta bintang Jerman, Michael Ballack.
– Bernama
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0420&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4z9B0BpgU
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan