ARKIB : 09/11/2010
Baddrol Bakhtiar membuat
keputusan mahu terus menabur jasa bersama pasukan negeri kelahirannya, Kedah
musim depan.
KUALA LUMPUR - Teka teki mengenai
pasukan yang menjadi pilihan bintang Kedah, Baddrol Bakhtiar musim hadapan
akhirnya terjawab, apabila pemain itu membuat keputusan untuk kekal
sekurang-kurangnya dua tahun lagi bersama skuad Hijau Kuning.
Biarpun mendapat tawaran lumayan
daripada beberapa pasukan seperti Negeri Sembilan, Selangor dan Kelantan, anak
jati Sungai Petani itu membuatkan kesemua pasukan berkenaan gigit jari, apabila
sanggup mengenepikan soal kewangan dan berikrar mahu setia bersama Kedah.
Turut mempengaruhi Baddrol yang
baru dinobatkan Pemain Tengah Terbaik 2010 untuk kekal, adalah rakan
sepasukannya seperti Khyril Muhymeen Zambri dan pihak pengurusan Persatuan Bola
Sepak Kedah (KFA).
''Setelah fikir semasak-masaknya,
saya mahu terus beraksi di sini kerana saya sudah serasi dengan semua pemain,
terutama pemain muda, malah perasaan sayang kepada Kedah masih menebal.
''Saya telah pun bersetuju dengan
kontrak yang ditawarkan oleh KFA dan akan menandatangani kontrak selama dua
tahun," katanya yang dihubungi, semalam.
Selain Negeri Sembilan, Selangor
dan Kelantan, dia juga mendapat tawaran dari Felda United, Sabah dan Perak.
Baddrol, yang berusia 22 tahun,
merupakan antara tonggak utama Kedah sejak beberapa musim lalu dan dianggap
antara watak penting dalam pasukan kebangsaan.
Dia bagaimanapun terlepas aksi ke
Sukan Asia yang sedang berlangsung, ekoran mendapat kecederaan lutut kiri.
Selain itu, Baddrol berkata, dia
semakin bersemangat apabila rakan sepasukannya dalam skuad kebangsaan, Amar
Rohidan yang beraksi dengan Perlis, memilih untuk bersama Kedah pada musim
hadapan.
''Selain Amar, Fauzi Nan juga
akan bersama Kedah. Saya anggap ini akan memberikan kekuatan tambahan kepada
pasukan ini bagi menghadapi skuad elit seperti Kelantan dan Selangor,''
katanya.
Selepas pasti bersama Kedah,
tumpuan Baddrol adalah mahu menamatkan kemarau kejuaraan dua tahun Kedah, yang
gagal menjulang sebarang piala pada musim lalu.
''Tidak kiralah apa jua piala
sekalipun, saya bertekad mahu membawa pulang satu piala kepada peminat Kedah
pada musim 2011.
''Perasaan sedih dan kecewa masih
ada, selepas kami gagal meraih Piala FA walaupun sudah melangkah ke peringkat
akhir di samping terkandas pada separuh akhir Piala Malaysia," jelasnya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1109&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz5cy0QPoKt
© Utusan Melayu (M) Bhd