Isnin, 3 Disember 2018

Malaysia tersungkur lagi


ARKIB : 19/11/2009
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD dan FERZALFIE FAUZI
sukan@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Secara logik dan dari mata kasar, Malaysia sudah boleh mengucapkan selamat tinggal bagi satu tiket dari Kumpulan C ke pusingan akhir bola sepak Piala Asia 2011 di Qatar setelah dibenam Uzbekistan, 3-1 dalam perlawanan kelayakan, semalam.

Sekalipun masih perlu menentang Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Januari depan, sisa peluang itu terlalu sukar untuk dihidupkan lagi selepas anak buah K. Rajagobal mengutip kekalahan ketiga di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Biarpun cuba bangkit dengan jaringan tunggal Baddrol Bakhtiar pada minit ke-70, tandukan Anvar Gafurov pada minit ke-32 dan rembatan Bakhodir Nasimov serta Timur Kapadze, minit ke-57 dan 72 sebaliknya sudah memadai untuk melayakkan Uzbekistan ke Qatar.

Sesuatu yang membanggakan hanyalah kegigihan majoriti pemain bawah 23 Malaysia selain prestasi membanggakan ketua pasukan, Norhafiz Zamani Misbah dan Amri Yahyah yang mampu mengatasi rekod 'senior' mereka yang dibelasah lawan dari Asia Tengah itu 5-0 dalam pusingan akhir pada aksi Piala Asia pada 2007 di sini.

Kini Malaysia berdepan misi mustahil jika masih mahu turut ke Qatar kerana perlu menewaskan UAE di Dubai, 6 Januari ini dengan jaringan yang terlalu besar sambil mengharapkan Uzbekistan turut menumpaskan lawan dari Asia Barat itu.

Enam minit babak pertama, Mohd. Amri Yahyah mensia-siakan satu peluang Malaysia dari luar petak penalti lebih 20 meter dengan kegopohannya melakukan rembatan meliar walaupun beberapa rakan sepasukan bersedia membantu menyusun gerakan.

Uzbekistan pantas mengasak kubu tuan rumah dan menerusi Jasur Hasanov dan Timur Kapadze pada minit ke-12 dan 13 namun mujurlah, kedua-duanya sempat ditepis oleh penjaga gol, Mohd. Farizal Marlias dan tersasar beberapa inci.

Dari sebelah kanan, Ahmad Fakri Saarani seminit kemudian nyaris mengejutkan pelawat setelah berjaya memperdayakan pemain tengah, Vitaliy Denisov namun rembatan kaki kirinya pula tersasar jauh ketika berdepan penjaga gol Temur Juraev.

Kelengahan benteng Malaysia dan Farizal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya nyaris dihukum dengan gol pendahuluan pada minit ke-17 tetapi pemain tengah lawan, Aziz Ibragimov hanya melakukan rembatan yang meliar.

Minit ke-19 dan 21 merakamkan dua percubaan tuan rumah yang turut hampir menghasilkan gol jika Baddrol Bakhtiar dan Safiq Rahim mampu bertenang mengawal bola rembatannya dan menyudahkan sepakan bebas berdekatan petak penalti.

Kebuntuan gol akhirnya dipecahkan oleh benteng Uzbekistan, Anvar Gafurov pada minit ke-32 yang menanduk masuk sepakan sudut oleh Jasur dari sebelah kanan ketika Farizal cuba meluru menepis hantaran lambung itu.

Malaysia tidak berputus asa apabila lima minit kemudian menyaksikan Safiq sempat menguji Temur biarpun rembatan kaki kanannya yang meleret tetapi masih deras, cuma tepat ke dakapan penjaga gol pasukan Asia Tengah itu.

Namun beberapa saat sebelum tamat babak pertama, pemain kelab KL PLUS itu sekali lagi menggamamkan Temur dengan sepakan bebasnya yang melambung dan singgah di gawang sebelum pemain Uzbekistan itu terpaksa menguis keluar.

Babak kedua menyaksikan gawang Malaysia dibocor lagi selepas bentengnya berlengah untuk mengeluarkan bola daripada asakan pelawat sehingga memudahkan penyerang, Bakhodir Nasimov merembat mudah gol kedua, minit ke-57.

Baddrol bagaimanapun menebus kesilapannya pada babak pertama apabila merembat kencang bola leret untuk menewaskan Temur, beberapa minit selepas Amri dan Shakir cuba menembusi gawang lawan dengan gerakan solo.

Gol tunggal negara dijaringkan sayap kanan Kedah itu yang mengutip umpanan Safiq sebelum melarikan bola ke sebelah kanan namun Uzbekistan hanya sempat memberikan dua minit untuk mereka bergembira di mana Timur Kapadze pantas menghukum kelekaan dengan menjaringkan gol ketiga.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1119&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5YdCt7Ehe
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan