ARKIB : 23/02/2007
ALOR STAR – Ketua jurulatih
bola sepak Kedah, Mohd. Azraai Khor Abdullah menyifatkan percaturannya dengan
memberi kepercayaan kepada pemain muda untuk beraksi dalam kesebelasan Sang
Kenari sudah mula menampakkan hasilnya.
Menurutnya, keadaan itu dapat
dilihat dan dinilai dengan prestasi semasa skuad Hijau Kuning yang kini amat
memberangsangkan dengan menduduki tangga ketiga Liga Super dengan mengumpul 18
mata, dua mata di belakang pendahulu Perlis dan masih mempunyai kelebihan satu
perlawanan.
Malah pasukan itu juga menang
dalam kedua-dua perlawanan Piala Malaysia Kumpulan C selain masih meneruskan
cabaran Piala FA.
“Hampir separuh daripada
kesebelasan utama yang dibariskan Kedah pada musim ini ialah pemain berusia
belasan tahun.
“Setakat ini mereka telah
menunjukkan persembahan yang meyakinkan meskipun terpaksa berdepan lawan yang
mempunyai pemain lebih berpengalaman.
“Aksi mereka jarang
menghampakan tetapi mereka perlu mengekalkan prestasi dan tidak cepat berasa
puas hati kerana masih banyak yang perlu diperbaiki dan dipelajari,” katanya
kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Enam pemain berusia dalam
lingkungan 19 tahun yang selalu diberi kepercayaan untuk mengisi slot 11 pemain
utama pasukan Kedah ialah Shafiq Jamal, Badrol Bakhtiar, Abd. Hadi Hamid, Mohd.
Bunyamin Omar dan dua pemain skuad Olimpik negara, Khyril Muhymeen serta Sabree
Abu.
Syafiq, Badrol, Abd. Hadi dan
Mohd. Bunyamin turut beraksi dalam perlawanan Liga Super menentang Perlis di
Stadium Darul Aman kelmarin yang menyaksikan Kedah meleburkan rekod tanpa kalah
Singa Utara selepas mencatatkan kemenangan 1-0.
Sambil tidak mengetepikan
sumbangan pemain senior dan pemain-pemain lain dalam skuad Kedah, Mohd. Azraai
percaya barisan muda Sang Kenari mampu membawa sukan bola sepak negeri ini ke
satu tahap yang boleh dihormati sekiranya mereka mengekalkan prestasi seperti
sekarang.
Dalam pada itu, Azraai memberi
amaran kepada semua pemainnya supaya jangan leka kerana saingan liga masih
panjang.
“Buat masa sekarang kita
dilihat berada dalam landasan terbaik untuk mencabar sebarang kejuaraan, namun
kita tidak boleh mendabik dada sedangkan hasil sebenar belum kelihatan dan ia
masih lagi jauh dan,” katanya
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0223&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4tKYj8O70
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan