Jumaat, 22 September 2017

Kedah hidup Perak mati



 
ARKIB : 28/03/2007
Tonggak kedah, Badrol Bakhtiar (kanan) bersaing dengan pemain Perak dalam saingan pusingan kedua bola sepak Piala FA di Alor Star, malam tadi. Kedah menang 1-0.

KUALA LUMPUR – Biar pun bermain 10 orang namun Kedah masih mampu layak ke suku akhir Piala FA selepas menewaskan Perak 1-0 dalam perlawanan pusingan kedua kalah mati yang menjadi tumpuan utama di Stadium Darul Aman Alor Star, semalam.

Penyerang Kedah, Marlon Alex James muncul wira Kedah dengan menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-78 menerusi satu serangan balas pantas.

Marlon yang mendapat umpanan jauh Fazliata Taib dari tengah padang menunggu sekali bola mencecah tanah sebelum meledakkan rembatan kaki kiri dari penjuru sebelah kanan gawang Perak untuk menghasilkan gol cantik tersebut.

Apa yang menarik, gol tunggal tuan rumah terhasil selepas seorang lagi pemain import Kedah, Nelson Sam Martin dibuang padang pada minit ke-53 kerana membalas tindakan ketua pasukan Perak, Ahmad Shahrul Azhar yang mengasarinya sebelum itu.

Bagi Perak, badi kekalahan kepada Kedah berterusan kerana ini merupakan kali ketiga mereka tewas kepada Sang Kenari musim ini selepas aksi Liga Super dan Piala Malaysia.

Lima lagi perlawanan pusingan kedua turut berlangsung semalam dengan menyaksikan dua daripadanya berlanjutan hingga ke masa tambahan dan penentuan sepakan penalti.

Di Stadium Darul Makmur Kuantan, juara bertahan, Pahang diikat 1-1 oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dalam 90 minit permainan sebenar sebelum tewas 4-5 dalam penentuan penalti.

Pahang mendahului seawal minit ke-2 menerusi Mohd. Zulkifly Mohd. Yusop sebelum PKNS menyamakan kedudukan menerusi Sapian Wahid tujuh minit kemudian.

Bagaimanapun ketika kedua-dua pasukan buntu mencari kemenangan, Zulkifly jugalah yang menghampakan Pahang apabila menjadi satu-satunya pemain yang gagal menyempurnakan sepakan penalti semalam.

Naib juara Piala FA musim lalu, Perlis turut tersingkir ke suku akhir apabila tewas 0-2 kepada Telekom Melaka dalam perlawanan di Stadium MBPJ Kelana Jaya.

Selangor pula menang selesa 4-1 ke atas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium MPS Selayang.

Manakala UPB MyTeam turut layak selepas membenamkan Negeri Sembilan NAZA 3-1 dalam perlawanan di Stadium Shah Alam.

Sabah pula memerlukan hingga ke masa tambahan sebelum berjaya menewaskan Johor FC 4-3 dalam perlawanan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Johor Bahru.

Terdahulu Johor Pasir Gudang dan Kuala Muda NAZA menjadi dua lagi pasukan yang melengkapkan kuota lapan pasukan ke suku akhir lebih awal kelmarin.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0328&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4tQCEhEIb
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan