Isnin, 25 September 2017 |
10:15am

PEMAIN Kedah, Baddrol Bakhtiar
(kiri) cuba dihalang pergerakan pemain Selangor, Adam Nor Azlin pada aksi kedua
suku akhir Piala Malaysia di Stadium Darul Aman. - Foto Amran Hamid
Korban sakit demi Helang Merah
Oleh Izzali Ismail
bhsukan@bh.com.my
ALOR SETAR: Walaupun masih
belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan, beberapa tonggak Kedah sanggup
mengambil risiko untuk turun beraksi menentang Selangor dalam aksi kedua suku
akhir Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, malam tadi.
Kehadiran semula tonggak utama
- Baddrol Bakhtiar, Syazwan Zainon, Khairul Helmi dan Rizal Ghazali yang tidak
beraksi ketika menentang FELDA United, Rabu lalu ternyata memberi impak besar
ke atas kemenangan skuad Helang Merah di laman sendiri.
Ketua Jurulatih Kedah, Nidzam
Adzha Yusoff sendiri mengakui kagum dengan semangat dipamerkan pemainnya ketika
membawa Kedah melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia, selepas menewaskan
Selangor 1-0 (agregat 4-2).
SANDRO da Silva (kanan)
meraikan gol bersama rakan sepasukan ketika menentang Selangor pada aksi kedua
suku akhir Piala Malaysia di Stadium Darul Aman. - Foto Amran Hamid
Katanya, kehadiran beberapa
pemain kebangsaan itu yang berganding tenaga dengan pemain import ternyata
menghasilkan permainan yang dirancang sepanjang tempoh 90 minit. Mereka berjaya
mencipta peluang serta melakukan banyak percubaan.
"Kalau diikutkan mereka
masih mengalami kecederaan, tapi semangat juang tinggi ketika beraksi harus
dipuji kerana mereka sanggup berkorban untuk bersama pasukan walaupun masih
merasa kesakitan demi untuk layak ke separuh akhir," kata Nidzam.
Selepas memperoleh gol pertama
melalui sepakan penalti, pemain Kedah dilihat berjaya mengekalkan momentum
serangan dan kukuh bertahan untuk mengelak bolos di sepanjang babak pertama.
Faktor itu berjaya menambahkan
keyakinan pemain untuk menguasai permainan sekali gus menafikan dakwaan mereka
menang nasib (3-2) ketika aksi pertama di Stadium MP Selayang ketika aksi suku
akhir pertama.
MOHD Rizal Mohd Ghazali (kanan)
cuba merampas bola daripada pemain Selangor, Mohd Raimi Mohd Nor pada aksi
kedua suku akhir Piala Malaysia di Stadium Darul Aman. - Foto Amran Hamid
"Malam ini (tadi), kami
membuktikan kemenangan kami ke atas Selangor bukan nasib, dan kami layak ke
separuh akhir dengan aksi yang lebih meyakinkan.
"Misi tanpa bolos kami
juga tercapai seperti yang dirancang. Saya harap kejayaan ini dapat
meningkatkan lagi keyakinan dan motivasi pemain untuk pertembungan dengan FELDA
pentas separuh akhir nanti," katanya.
BERITA HARIAN ONLINE Isnin, 25
September 2017 | 10:15am
Tiada ulasan:
Catat Ulasan