'Gementaq, tapi tak sabaq' [METRO
TV]
Rizar Mohd Noor
sukateam@nstp.com.my
KAPTEN Kedah, Baddrol Bakhtiar
tidak menafikan betapa perasaan gementar untuk beraksi pada kancah Liga
Malaysia (Liga M) tetap ada bukan sahaja pada dirinya malah turut membabitkan
kesemua rakan sepasukan.
Tambahnya, aksi pertama menentang
Johor Darul Ta’zim (JDT) tatkala ia perlawanan pertama Liga Super sememangnya
beri perasaan gemuruh apabila berdepan pasukan yang hebat kendalian Ulisses
Morais.
“Walaupun pernah beraksi pada
saingan Piala Sumbangsih musim lalu, perasaan gementar tetap ada kerana kami
bukan sahaja berdepan JDT yang merupakan juara Liga Super empat musim
berturut-turut malah perlu berdepan sorakan padu penyokong mereka.
“Namun apabila permainan bermula
nanti, saya optimis pemain Kedah akan melupakan perasaan gementar dan beri
fokus sepenuhnya pada perlawanan itu dan berjuang habis-habisan memburu
kemenangan.
“Kita tahu JDT ada kelebihan
beraksi di laman sendiri, namun kami akan turun dengan semangat tinggi untuk
berusaha membawa pulang Piala Sumbangsih ke bumi Darul Aman bagi permulaan
positif dalam liga,” katanya pada sidang media pra perlawanan Piala Sumbangsih
di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, di sini semalam.
Baddrol juga menegaskan penentuan
kemenangan pada pertembungan itu lebih terarah kepada pasukan mana yang
menjaringkan gol dan pantas mempertahankan jaringan untuk memburu kemenangan.
Katanya, tiada tekanan buat skuad
Helang Merah untuk berdepan Harimau Selatan tatkala lebih menganggap sebagai
pasukan bukan pilihan berbanding JDT yang pasti lebih tertekan yang beraksi di
tempat sendiri.
“Kehadiran Pablo Pallares dan
Álvaro Silva beri lagi suntikan kekuatan Kedah pada musim ini dan kedua-dua
pemain itu memiliki sikap positif yang boleh dijadikan contoh kepada pemain
muda.
“Saya berharap salah seorang
daripada mereka mampu beri sumbangan untuk Kedah melakar kemenangan pada
perlawanan itu nanti kerana kami membuat persiapan begitu rapi bagi menghadapi
JDT,” kata Baddrol.

SUMBERArtikel ini disiarkan pada
: Jumaat, 2 Februari 2018 @ 8:29 PM