Rabu, 19 Disember 2018

Baddrol azam hadiahkan Piala FA kali ketiga buat Kedah


ARKIB : 06/04/2010
Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH
utusankedah@utusan.com.my
 ALOR SETAR - Pengalaman manis mengecapi Piala FA pada musim 2007 dan 2008 membuatkan penyerang muda Kedah, Baddrol Bakhtiar bertekad untuk menjulang kejuaraan itu sekali lagi pada perlawanan akhir menentang Negeri Sembilan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Pemain berusia 22 tahun yang mempamerkan aksi bertenaga ketika membantu Sang Kenari mara ke babak penentuan itu berazam membantu Kedah menggondol piala berkenaan buat kali keempat dalam sejarah pasukan berkenaan.

Menurut Baddrol, tiada apa yang bermain di fikirannya dan rakan sepasukan pada masa ini selain mahu membawa pulang trofi kejuaraan ke negeri Jelapang Padi sebagai hadiah kepada peminat dan penyokong Hijau Kuning.

Bagaimanapun, kata pemain yang berasal dari Sungai Petani itu, mereka menyedari kejayaan itu tidak boleh dicapai dengan mudah.

Justeru, katanya, pada perlawanan akhir nanti amat penting bagi kesebelasan Sang Kenari mempamerkan kesungguhan dan semangat juang yang tinggi dengan berdisiplin mengikuti corak permainan yang diterapkan oleh kem kejurulatihan.

"Apabila tiba di peringkat ini, semangat saya bersama rakan sepasukan adalah untuk meraih kejayaan.

"Mana-mana pasukan yang mara ke perlawanan akhir mempunyai peluang yang seimbang, namun kami tidak mahu kecewa dan tekad menghadiahkan piala itu untuk peminat Kedah," katanya di sini, semalam.

Baddrol berkata, dia akan menggunakan pengalamannya yang pernah mengharungi dua perlawanan akhir Piala FA sebelum ini untuk membantu pasukan Hijau Kuning menjinakkan Negeri Sembilan.

Katanya, jika diturunkan pada aksi final itu nanti, dia juga akan cuba meningkatkan momentum permainannya termasuk perlu fokus di atas padang kerana menyedari skuad Rusa bukan sebarangan pasukan.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0406&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz5a7MilI8G
© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 16 Disember 2018

Malaysia lebar rekod di gelanggang sendiri


 
 ARKIB : 28/02/2010
Malaysia lebar rekod di gelanggang sendiri
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
sukan@utusan.com.my
PEMAIN Malaysia, Baddrol Bakhtiar (depan) diasak pemain Yemen, Khaled Hasan Hussein Baleid pada perlawanan persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi. Malaysia menang 1-0.

KUALA LUMPUR – Rekod cemerlang Malaysia dalam perlawanan antarabangsa di gelanggang sendiri berterusan sejak 30 Disember lalu apabila menumpaskan Yemen 1-0 di sini, semalam.

Sayap kanan negara, Baddrol Bakhtiar memastikan langkah kanan skuad negara pada aksi persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil itu menerusi gol tunggal pada minit ke-54.

Kemenangan tersebut, yang merupakan kemenangan kedua berturut-turut buat skuad negara selepas menewaskan Syria 4-1 hujung tahun lalu, sekali gus melebarkan rekod pertemuan dengan Yemen yang kini menyebelahi kita sejak 1984.

Ia juga bakal memperbaiki ranking skuad bimbingan K. Rajagobal yang kini berada pada kedudukan ke-159 dunia.

Yemen pula menghuni ranking 105 dunia.

Malaysia yang menguasai babak pertama permainan sewajarnya mendahului lawan dengan dua gol sekiranya Ashari Samsudin dan Mohd. Zaquan Adha Abdul Radzak berjaya menyudahkan rembatan masing-masing.

Ashari yang sempat mencuba pada minit ke-12 bagaimanapun hampa selepas rembatannya terkena palang biarpun penjaga gol Yemen, Saoud Abdullah Al- Sowadi sudah tertewas.

Pada masa kecederaan separuh masa pertama, tiang gol sekali lagi menjadi penyelamat Yemen walaupun rembatan Zaquan sudah menewaskan Saoud.

Selain itu, barisan depan Malaysia turut terlepas beberapa peluang menerusi Baddrol pada minit kelima, Ahmad Fakri Saarani (minit lapan) dan satu sepakan sudut pada minit ke-24 yang mudah disambut Saoud.

Yemen tidak ketinggalan menguji pintu gawang Malaysia yang dikawal Sharbinee Allawee Ramli menerusi Khaled Hasan Hussein Baleid dan Mohammed Abdullah Al-Abidi masing-masing pada minit keenam dan ke-37.

Kem negara melonjak girang pada minit ke-54 apabila sayap kanan Kedah, Baddrol merembat masuk sepakan percuma selepas terkena palang sedikit untuk membawa Malaysia mendahului 1-0.

Tiga minit kemudian, Ahmad Fakri pula nyaris menambah gol tetapi sempat dibaca oleh Saoud, begitu juga percubaan kaki kiri, Bunyamin Omar pada minit 63.

Pada minit ke-67 pemain Yemen, Ala Mohamed Al-Sasi cuba mencedok untuk menguji penjaga gol gantian negara, Farizal Marlias tetapi tinggi melewati palang gol.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0228&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5ZrOeJr9c
© Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 3 Disember 2018

Kita berentap di final

ARKIB : 15/12/2009
 
Baddrol Bakhtiar (dua dari kiri) meraikan gol jaringannya bersama rakan sepasukan (dari kiri) Mohd. Sabre Mat Abu, Safiq Rahim dan K. Gurusamy Govanda ketika menentang Laos dalam perlawanan separuh akhir bola sepak lelaki Sukan SEA di Stadium Utama Kompleks Sukan Nasional Laos dekat Vientiane, semalam. – AP

VIENTIANE – Skuad bola sepak kebangsaan menempa sejarah apabila mara ke perlawanan akhir selepas mencatat kemenangan bergaya 3-1 ke atas pasukan tuan rumah pada aksi separuh akhir Sukan SEA XXV, semalam.

Kemenangan itu mengulangi pencapaian pada Sukan SEA 2001 di Kuala Lumpur ketika Malaysia kali terakhir mara ke final acara bola sepak Sukan SEA.

Malaysia akan menentang Vietnam Khamis ini pada pukul 6 petang waktu Malaysia.

Vietnam layak ke perlawanan akhir selepas membenam Singapura 4-1 pada satu lagi perlawanan separuh akhir semalam.

Pada perlawanan semalam, jaringan menarik Baddrol Bakhtiar pada minit ke-13 memastikan penguasaan Malaysia pada separuh pertama.

Namun, pasukan tuan rumah bangkit di babak kedua dan akhirnya memperoleh jaringan penyamaan hasil rembatan jauh Kanyala Sysomvang pada minit ke-72.

Apa pun, Baddrol pantas meletakan Malaysia sekali lagi mendahului 2-1 menerusi jaringannya pada minit ke-78.

Safiq Rahim menamatkan sisa-sisa peluang Laos yang beraksi di depan lebih 20,000 penyokong di Stadium Utama Kompleks Sukan Nasional Laos, dengan gol ketiga pada minit ke-84.

Mengulas kemenangan tersebut, jurulatih K. Rajagobal berkata, Malaysia berhak ke perlawanan setelah para pemain memberikan permainan penuh bertenaga.

Katanya, para pemain mempamer kesungguhan di sepanjang perlawanan dan berjaya memperbaiki permainan longgar untuk memastikan kemaraan ke perlawanan akhir.

“Kami menguasai perlawanan sehingga mendapat gol pertama. Namun pada babak kedua para pemain hilang tumpuan dan rentak perlawanan seketika sehingga membenarkan jaringan penyamaan pasukan tuan rumah.

“Namun, para pemain kembali mendapatkan tempo permainan tidak lama selepas itu dan akhirnya berjaya menjaringkan dua gol.

“Kemenangan ini amat bermakna kerana ia dicatat ketika saya berdepan masalah ketiadaan beberapa pemain tonggak yang digantung di bahagian depan.

“Mungkin kerana kekurangan pilihan pemain di bahagian depan mendorong pemain di jentera serangan ini beraksi bermati-matian,” katanya. – Utusan
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1215&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5YhABsHks
© Utusan Melayu (M) Bhd

Malaysia tersungkur lagi


ARKIB : 19/11/2009
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD dan FERZALFIE FAUZI
sukan@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Secara logik dan dari mata kasar, Malaysia sudah boleh mengucapkan selamat tinggal bagi satu tiket dari Kumpulan C ke pusingan akhir bola sepak Piala Asia 2011 di Qatar setelah dibenam Uzbekistan, 3-1 dalam perlawanan kelayakan, semalam.

Sekalipun masih perlu menentang Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Januari depan, sisa peluang itu terlalu sukar untuk dihidupkan lagi selepas anak buah K. Rajagobal mengutip kekalahan ketiga di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Biarpun cuba bangkit dengan jaringan tunggal Baddrol Bakhtiar pada minit ke-70, tandukan Anvar Gafurov pada minit ke-32 dan rembatan Bakhodir Nasimov serta Timur Kapadze, minit ke-57 dan 72 sebaliknya sudah memadai untuk melayakkan Uzbekistan ke Qatar.

Sesuatu yang membanggakan hanyalah kegigihan majoriti pemain bawah 23 Malaysia selain prestasi membanggakan ketua pasukan, Norhafiz Zamani Misbah dan Amri Yahyah yang mampu mengatasi rekod 'senior' mereka yang dibelasah lawan dari Asia Tengah itu 5-0 dalam pusingan akhir pada aksi Piala Asia pada 2007 di sini.

Kini Malaysia berdepan misi mustahil jika masih mahu turut ke Qatar kerana perlu menewaskan UAE di Dubai, 6 Januari ini dengan jaringan yang terlalu besar sambil mengharapkan Uzbekistan turut menumpaskan lawan dari Asia Barat itu.

Enam minit babak pertama, Mohd. Amri Yahyah mensia-siakan satu peluang Malaysia dari luar petak penalti lebih 20 meter dengan kegopohannya melakukan rembatan meliar walaupun beberapa rakan sepasukan bersedia membantu menyusun gerakan.

Uzbekistan pantas mengasak kubu tuan rumah dan menerusi Jasur Hasanov dan Timur Kapadze pada minit ke-12 dan 13 namun mujurlah, kedua-duanya sempat ditepis oleh penjaga gol, Mohd. Farizal Marlias dan tersasar beberapa inci.

Dari sebelah kanan, Ahmad Fakri Saarani seminit kemudian nyaris mengejutkan pelawat setelah berjaya memperdayakan pemain tengah, Vitaliy Denisov namun rembatan kaki kirinya pula tersasar jauh ketika berdepan penjaga gol Temur Juraev.

Kelengahan benteng Malaysia dan Farizal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya nyaris dihukum dengan gol pendahuluan pada minit ke-17 tetapi pemain tengah lawan, Aziz Ibragimov hanya melakukan rembatan yang meliar.

Minit ke-19 dan 21 merakamkan dua percubaan tuan rumah yang turut hampir menghasilkan gol jika Baddrol Bakhtiar dan Safiq Rahim mampu bertenang mengawal bola rembatannya dan menyudahkan sepakan bebas berdekatan petak penalti.

Kebuntuan gol akhirnya dipecahkan oleh benteng Uzbekistan, Anvar Gafurov pada minit ke-32 yang menanduk masuk sepakan sudut oleh Jasur dari sebelah kanan ketika Farizal cuba meluru menepis hantaran lambung itu.

Malaysia tidak berputus asa apabila lima minit kemudian menyaksikan Safiq sempat menguji Temur biarpun rembatan kaki kanannya yang meleret tetapi masih deras, cuma tepat ke dakapan penjaga gol pasukan Asia Tengah itu.

Namun beberapa saat sebelum tamat babak pertama, pemain kelab KL PLUS itu sekali lagi menggamamkan Temur dengan sepakan bebasnya yang melambung dan singgah di gawang sebelum pemain Uzbekistan itu terpaksa menguis keluar.

Babak kedua menyaksikan gawang Malaysia dibocor lagi selepas bentengnya berlengah untuk mengeluarkan bola daripada asakan pelawat sehingga memudahkan penyerang, Bakhodir Nasimov merembat mudah gol kedua, minit ke-57.

Baddrol bagaimanapun menebus kesilapannya pada babak pertama apabila merembat kencang bola leret untuk menewaskan Temur, beberapa minit selepas Amri dan Shakir cuba menembusi gawang lawan dengan gerakan solo.

Gol tunggal negara dijaringkan sayap kanan Kedah itu yang mengutip umpanan Safiq sebelum melarikan bola ke sebelah kanan namun Uzbekistan hanya sempat memberikan dua minit untuk mereka bergembira di mana Timur Kapadze pantas menghukum kelekaan dengan menjaringkan gol ketiga.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1119&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5YdCt7Ehe
© Utusan Melayu (M) Bhd