Malaysia lebar rekod di
gelanggang sendiri
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
sukan@utusan.com.my
PEMAIN Malaysia, Baddrol Bakhtiar
(depan) diasak pemain Yemen, Khaled Hasan Hussein Baleid pada perlawanan
persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi. Malaysia menang 1-0.
KUALA LUMPUR – Rekod cemerlang
Malaysia dalam perlawanan antarabangsa di gelanggang sendiri berterusan sejak
30 Disember lalu apabila menumpaskan Yemen 1-0 di sini, semalam.
Sayap kanan negara, Baddrol
Bakhtiar memastikan langkah kanan skuad negara pada aksi persahabatan di
Stadium Nasional, Bukit Jalil itu menerusi gol tunggal pada minit ke-54.
Kemenangan tersebut, yang
merupakan kemenangan kedua berturut-turut buat skuad negara selepas menewaskan
Syria 4-1 hujung tahun lalu, sekali gus melebarkan rekod pertemuan dengan Yemen
yang kini menyebelahi kita sejak 1984.
Ia juga bakal memperbaiki ranking
skuad bimbingan K. Rajagobal yang kini berada pada kedudukan ke-159 dunia.
Yemen pula menghuni ranking 105
dunia.
Malaysia yang menguasai babak
pertama permainan sewajarnya mendahului lawan dengan dua gol sekiranya Ashari
Samsudin dan Mohd. Zaquan Adha Abdul Radzak berjaya menyudahkan rembatan
masing-masing.
Ashari yang sempat mencuba pada
minit ke-12 bagaimanapun hampa selepas rembatannya terkena palang biarpun
penjaga gol Yemen, Saoud Abdullah Al- Sowadi sudah tertewas.
Pada masa kecederaan separuh masa
pertama, tiang gol sekali lagi menjadi penyelamat Yemen walaupun rembatan
Zaquan sudah menewaskan Saoud.
Selain itu, barisan depan
Malaysia turut terlepas beberapa peluang menerusi Baddrol pada minit kelima,
Ahmad Fakri Saarani (minit lapan) dan satu sepakan sudut pada minit ke-24 yang
mudah disambut Saoud.
Yemen tidak ketinggalan menguji
pintu gawang Malaysia yang dikawal Sharbinee Allawee Ramli menerusi Khaled
Hasan Hussein Baleid dan Mohammed Abdullah Al-Abidi masing-masing pada minit
keenam dan ke-37.
Kem negara melonjak girang pada
minit ke-54 apabila sayap kanan Kedah, Baddrol merembat masuk sepakan percuma
selepas terkena palang sedikit untuk membawa Malaysia mendahului 1-0.
Tiga minit kemudian, Ahmad Fakri
pula nyaris menambah gol tetapi sempat dibaca oleh Saoud, begitu juga percubaan
kaki kiri, Bunyamin Omar pada minit 63.
Pada minit ke-67 pemain Yemen,
Ala Mohamed Al-Sasi cuba mencedok untuk menguji penjaga gol gantian negara,
Farizal Marlias tetapi tinggi melewati palang gol.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0228&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5ZrOeJr9c
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan