ARKIB : 19/11/2009
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD dan
FERZALFIE FAUZI
sukan@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Secara logik dan
dari mata kasar, Malaysia sudah boleh mengucapkan selamat tinggal bagi satu
tiket dari Kumpulan C ke pusingan akhir bola sepak Piala Asia 2011 di Qatar
setelah dibenam Uzbekistan, 3-1 dalam perlawanan kelayakan, semalam.
Sekalipun masih perlu menentang
Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Januari depan, sisa peluang itu terlalu sukar
untuk dihidupkan lagi selepas anak buah K. Rajagobal mengutip kekalahan ketiga
di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Biarpun cuba bangkit dengan
jaringan tunggal Baddrol Bakhtiar pada minit ke-70, tandukan Anvar Gafurov pada
minit ke-32 dan rembatan Bakhodir Nasimov serta Timur Kapadze, minit ke-57 dan
72 sebaliknya sudah memadai untuk melayakkan Uzbekistan ke Qatar.
Sesuatu yang membanggakan
hanyalah kegigihan majoriti pemain bawah 23 Malaysia selain prestasi membanggakan
ketua pasukan, Norhafiz Zamani Misbah dan Amri Yahyah yang mampu mengatasi
rekod 'senior' mereka yang dibelasah lawan dari Asia Tengah itu 5-0 dalam
pusingan akhir pada aksi Piala Asia pada 2007 di sini.
Kini Malaysia berdepan misi
mustahil jika masih mahu turut ke Qatar kerana perlu menewaskan UAE di Dubai, 6
Januari ini dengan jaringan yang terlalu besar sambil mengharapkan Uzbekistan
turut menumpaskan lawan dari Asia Barat itu.
Enam minit babak pertama, Mohd.
Amri Yahyah mensia-siakan satu peluang Malaysia dari luar petak penalti lebih
20 meter dengan kegopohannya melakukan rembatan meliar walaupun beberapa rakan
sepasukan bersedia membantu menyusun gerakan.
Uzbekistan pantas mengasak kubu
tuan rumah dan menerusi Jasur Hasanov dan Timur Kapadze pada minit ke-12 dan 13
namun mujurlah, kedua-duanya sempat ditepis oleh penjaga gol, Mohd. Farizal
Marlias dan tersasar beberapa inci.
Dari sebelah kanan, Ahmad Fakri
Saarani seminit kemudian nyaris mengejutkan pelawat setelah berjaya
memperdayakan pemain tengah, Vitaliy Denisov namun rembatan kaki kirinya pula
tersasar jauh ketika berdepan penjaga gol Temur Juraev.
Kelengahan benteng Malaysia dan
Farizal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya nyaris dihukum dengan gol
pendahuluan pada minit ke-17 tetapi pemain tengah lawan, Aziz Ibragimov hanya
melakukan rembatan yang meliar.
Minit ke-19 dan 21 merakamkan dua
percubaan tuan rumah yang turut hampir menghasilkan gol jika Baddrol Bakhtiar
dan Safiq Rahim mampu bertenang mengawal bola rembatannya dan menyudahkan
sepakan bebas berdekatan petak penalti.
Kebuntuan gol akhirnya dipecahkan
oleh benteng Uzbekistan, Anvar Gafurov pada minit ke-32 yang menanduk masuk
sepakan sudut oleh Jasur dari sebelah kanan ketika Farizal cuba meluru menepis
hantaran lambung itu.
Malaysia tidak berputus asa
apabila lima minit kemudian menyaksikan Safiq sempat menguji Temur biarpun
rembatan kaki kanannya yang meleret tetapi masih deras, cuma tepat ke dakapan
penjaga gol pasukan Asia Tengah itu.
Namun beberapa saat sebelum tamat
babak pertama, pemain kelab KL PLUS itu sekali lagi menggamamkan Temur dengan
sepakan bebasnya yang melambung dan singgah di gawang sebelum pemain Uzbekistan
itu terpaksa menguis keluar.
Babak kedua menyaksikan gawang
Malaysia dibocor lagi selepas bentengnya berlengah untuk mengeluarkan bola
daripada asakan pelawat sehingga memudahkan penyerang, Bakhodir Nasimov merembat
mudah gol kedua, minit ke-57.
Baddrol bagaimanapun menebus
kesilapannya pada babak pertama apabila merembat kencang bola leret untuk
menewaskan Temur, beberapa minit selepas Amri dan Shakir cuba menembusi gawang
lawan dengan gerakan solo.
Gol tunggal negara dijaringkan
sayap kanan Kedah itu yang mengutip umpanan Safiq sebelum melarikan bola ke
sebelah kanan namun Uzbekistan hanya sempat memberikan dua minit untuk mereka
bergembira di mana Timur Kapadze pantas menghukum kelekaan dengan menjaringkan
gol ketiga.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1119&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5YdCt7Ehe
© Utusan Melayu (M) Bhd