Sabtu, 27 Julai 2019

Baddrol puas cipta sejarah

Ahad, 28 Julai 2019 | 7:46am
 
PENGADIL perlawanan dari Jepun, Okabe Takuto melayangkan kad kuning kepada pemain Kedah, Baddrol Bakhtiar pada final Piala FA 2019 Kedah menentang Perak di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto BERNAMA
Baddrol puas cipta sejarah
Oleh Mohd Fitrie Muhammad danZulfaizan Mansor dan Syafiq Aznan
sukanteam@nstp.com.my

KUALA LUMPUR: Kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar mengakui puas selepas berjaya mencipta sejarah peribadi dengan menjulang Piala FA buat kali keempat bersama Helang Merah.

Kedah dinobatkan sebagai juara Piala FA musim ini selepas menundukkan satu lagi pasukan dari utara tanah air, Perak 1-0 pada final di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Baddrol yang menjadi perancang utama Helang Merah tidak pernah berhijrah ke pasukan lain sepanjang kerjayanya sudah menjulang trofi itu pada 2007, 2008 dan 2017.

"Saya memang tekad untuk mendapatkan piala ini sebab saya ingin mencipta sejarah sebagai seorang pemain yang merangkul empat kejuaraan Piala FA dalam satu kelab," kata Baddrol pada sidang media selepas perlawanan.

Kedah seharusnya perlu berterima kasih kepada pemain gantian, Fadzrul Danel Mohd Nizam selepas jaringan tunggalnya pada minit ke-105 memberikan kejuaraan Piala FA buat kali kelima kepada Helang Merah.

Selain itu, Baddrol menjelaskan kejayaan di Piala FA menjadi suntikan semangat buat pasukannya untuk fokus kepada saingan Piala Malaysia yang akan membuka tirai bulan depan.

"Syukur kami dapat bawa balik Piala FA ke bumi Kedah dan kami tetap akan fokus kepada Piala Malaysia. Kami akan adakan sambutan Piala FA di Darul Aman," katanya.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Ahad, 28 Julai 2019 | 7:46am

Jumaat, 26 Julai 2019

Tokok trofi


MyMetroArena
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
 
AKSI final Piala FA berdepan Perak di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini menjadi misi ‘serampang dua mata’ buat ketua pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar.

Ia kerana perlawanan itu bukan saja menjadi medan buat skuad Lang Merah menjulang kejuaraan sulung musim ini, malah Baddrol turut mengintai peluang menambah koleksi kejuaraan Piala FA yang keempat selepas memenanginya pada 2007, 2008 dan 2017.

Apapun, ia bukan tugas mudah buatnya apabila berdepan skuad The Bos Gaurus yang turut diperkuatkan dengan pemain ternama tempatan selain trio import dari Brazil iaitu Leandro, Ronaldo Henrique Silva dan Careca.

Justeru, pemain berpengalaman berusia 31 tahun itu menuntut rakan sepasukan tidak memandang mudah sambil berharap barisan pemain muda Kedah mampu menyerap segala tekanan, sekali gus keluar selaku juara.

“Misi saya kali ini adalah untuk mengumpul piala keempat (Piala FA) pada tahun ini. Saya mengharapkan pemain pasukan Kedah malam esok (malam ini) fokus dengan lebih tinggi dan bagilah apa yang ada malam itu habis-habisan dan buatlah terbaik pada final nanti,” katanya pada sidang media Piala FA, di sini, semalam.

Jelasnya, dia turut mengingatkan rakan sepasukan supaya berjaga-jaga dengan provokasi tonggak tengah Perak, Leandro.

“Bagi saya sendiri, provokasi daripada Leandro kita kena faham permainan dia memang macam itu. Jadi bagi kita dah main lama di Liga Malaysia, kita buat macam biasa jelah buat tak tahu,” katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Julai 2019 @ 6:10 AMSUMBER


Rabu, 24 Julai 2019

Baddrol idam gelaran keempat

 BADDROL BAKHTIAR (depan) bersama rakan sepasukan menjalani latihan
BADDROL BAKHTIAR (depan) bersama rakan sepasukan menjalani latihan di Stadium Darul Aman semalam menjelang perlawanan akhir Piala FA antara Kedah dan Perak Sabtu ini. UTUSAN/FARIZ RUSADIO
24 Julai 2019 9:28 PM
KUALA LUMPUR - Selepas membantu Kedah merangkul gelaran Piala FA sebanyak tiga kali sebelum ini, kapten Baddrol Bakhtiar mengintai peluang untuk melakukan buat kali keempat pula apabila Lang Merah turun menentang Perak dalam perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Pemain kebangsaan itu yang meraih trofi Piala FA bersama Kedah pada 2007, 2008 dan 2017 menjangkakan saingan sengit bakal ditampilkan Bos Gaurus yang kali terakhir mendakap Piala FA pada 2004.


Pemain tengah skuad Lang Merah itu pada masa sama turut mengakui, aksi kali ini agak istimewa kerana melibatkan dua wakil utara selepas edisi 2007 yang menyaksikan Kedah mengatasi Perlis 4-2 menerusi sepakan penalti pada aksi final di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang.

“Persediaan kami berjalan seperti biasa dan saya berharap rakan sepasukan dapat teruskan momentum cemerlang dalam saingan Liga Super ke final Piala FA dan saya harapkan keputusan positif pada kali ini,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Dalam pada itu, Baddrol mengakui undian mudah yang diterima Kedah dalam saingan Piala Malaysia 2019 yang bermula awal bulan depan, dapat dijadikan dorongan untuk memburu keputusan positif kali ini.

Baddrol bagaimanapun, mengingatkan rakan sepasukan untuk tidak memandang rendah keupayaan tiga pasukan lain dalam kumpulan A iaitu Terengganu FC, PKNS FC dan Negeri Sembilan yang turut mempunyai peluang sama rata.

“Apabila diletakkan sebagai pasukan pilihan dalam kumpulan A, ia sedikit sebanyak memberi satu motivasi kepada saya dan rakan sepasukan, dan kami seharusnya tidak mengambil mudah saingan sengit daripada tiga pasukan ini,” jelas Baddrol.

Pada aksi separuh akhir, Perak menewaskan Pahang dengan aggregat 4-3, manakala Kedah mengatasi Felda United menerusi peraturan gol di tempat lawan selepas terikat 3-3. – BERNAMA
SUMBER-UTUSAN ONLINE 24 Julai 2019 9:28 PM

Khamis, 18 Julai 2019

Kedah azam beri persembahan terhebat


 
Kedah azam beri persembahan terhebat
18 Julai 2019 1:32 PM
ALOR SETAR - Pasukan Kedah bertekad memberi persembahan terbaik pada perlawanan akhir Piala FA menentang Perak di Stadium Nasional Bukit Jalil, 27 Julai ini, sekali gus merangkul trofi kejuaraan untuk dihadiahkan kepada penyokongnya.
PEMAIN Kedah, Baddrol Bakhtiar ketika sesi bergambar Final Piala FA Skuad Lang Merah di Wisma Darul Aman di sini, semalam. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO

Kapten skuad Lang Merah, Baddrol Bakhtiar berkata persediaan pasukannya setakat ini berada pada tahap begitu baik dan tumpuan diberikan sepenuhnya semasa latihan dengan panduan jurulatih.

Baddrol berkata pasukannya juga mempunyai keharmonian serta momentum terbaik untuk menghadapi perlawanan akhir itu nanti.

“Kalau ada rezeki Kedah pada tahun ini kami (akan) menghadiahkan piala itu (Piala FA) kepada penyokong Kedah dan pasukan, itu satu janji kami kepada penyokong,” katanya kepada pemberita di Wisma Darul Aman di sini.

Katanya walaupun dalam saingan Liga Super di Stadium Darulaman baru-baru ini, pasukannya berjaya menewaskan Perak 4-2, ia tidak memberi keselesaan kepada pasukannya dan tidak memandang rendah pada situasi itu.

“Mungkin pasukan Perak ada menyimpan sesuatu dan bagi kami, akan terus pandang ke hadapan dan akan fokus,” kata Baddrol.

Dalam pada itu, beliau berkata perlawanan menentang Felda United untuk saingan Liga Super selepas ini sangat penting kerana Kedah memerlukan tiga mata penting untuk mengekalkan kedudukan tangga ketiga dan berada dalam kelompok lima terbaik.

Skuad Lang Merah akan berhadapan dengan Felda United pada 21 Julai ini di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Pahang. - BERNAMA
SUMBER-UTUSAN MALAYSIA ONLINE 18 Julai 2019 1:32 PM