Isnin, 23 Oktober 2017

Kedah terus kukuhkan kedudukan



 
Aksi pemain Pulau Pinang, Mohd Fakris Fisol (depan) ketika menghalang penyerang Kedah pada aksi di Batu Kawan malam tadi.

KENARI memang hebat.
Mereka terus mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu Liga Super selepas mencatat kemenangan 3-2 ke atas Pulau Pinang di Stadium Negeri di Batu Kawan malam tadi, lapor NAZATUL SHIMA RAZALI.

Gol pertama pasukan pelawat dijaringkan pemain import mereka, Nelson Sam Martin pada minit ke-17 menerusi tendangan percuma menewaskan penjaga gol Pulau Pinang, Mohd. Faizal Yusoff.

Pada separuh masa kedua, Pulau Pinang bangkit untuk menyamakan kedudukan dan mereka berjaya menghasilkan dua gol menerusi jaringan Mohd. Farizal Rozali pada minit ke-50 dan jaringan sendiri oleh pertahanan Kedah, Victor Andrag pada minit ke-68.

Walaupun ketinggalan satu gol, anak buah Mohd. Azraai Khor Abdullah itu tidak mahu menyerah kalah dan mereka terus menggandakan asakan untuk mencari gol penyamaan.

Hasilnya, jaringan yang dicari diperoleh pada minit ke-61 dan ke-76 menerusi Saramsak Kram dan Badrol Bakhtiar.

Dengan kemenangan itu, Kedah kini mengumpul 28 mata menerusi sembilan kemenangan dan satu seri.

SUMBERArtikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0130&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_11.htm#ixzz4wNd7WJbD
Hakcipta terpelihara

Mahu Piala Malaysia kekal di Kedah - Baddrol



Isnin, 23 Oktober 2017 | 1:24pm
 
PEMAIN Kedah, Baddrol Bakhtiar tidak mahu mensia-siakan peluang beraksi di final dan akan buktikan bahawa skuad Helang Merah adalah pasukan elit yang digeruni di Malaysia. - Foto Osman Adnan
Mahu Piala Malaysia kekal di Kedah - Baddrol
Oleh Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Pemain tengah Baddrol Bakhtiar mahu Piala Malaysia kekal di bumi Kedah untuk membuktikan bahawa mereka adalah pasukan yang digeruni di negara ini.

Skuad Helang Merah melakar sejarah tersendiri dengan melangkah ke final kejohanan itu buat kali ketiga berturut-turut selepas mengatasi FELDA United di separuh akhir menerusi agregat 3-1.

Bagaimanapun ia bukan mudah untuk anak buah Nidzam Adzha Yusoff mempertahankan kejuaraan itu seperti yang dilakukan pada 2007-2008 kerana lawan mereka pada final di Stadium Shah Alam 4 November ini adalah juara Liga Super Johor Darul Ta'zim (JDT).

Bagi Baddrol, 29, mereka sudah bersedia untuk membuat perhitungan.

"JDT pasukan yang kuat di Malaysia kerana mereka ada pemain yang memiliki teknik bagus, pemain import yang bagus tapi bagi kami, itu satu cabaran dalam bola sepak.

"Kami akan bermain seperti sebelum-sebelum ini dan kami akan buktikan bahawa pasukan Kedah ini pasukan elit yang begitu digeruni di Malaysia," katanya.

Ini kali kedua skuad Helang Merah bertemu JDT bagi perebutan piala apabila menjulang trofi Piala Sumbangsih awal tahun ini menerusi penentuan sepakan penalti 5-4 selepas permainan terikat 1-1.

Kedah juga memburu piala ketiga musim ini selepas turut merangkul Piala FA dengan menundukkan Pahang 3-2 di final Mei lalu.

Bagi Baddrol, dia tidak mahu mensia-siakan peluang di final apatah lagi selepas pengorbanannya bermain dalam kesakitan belakang tengkuk dan mukanya akibat pelanggaran dengan rakan sepasukan pada sesi latihan sehari sebelum perlawanan separuh akhir kedua Sabtu lalu.

"Memang saya berada dalam keadaan sakit tapi saya tak hiraukan sakit itu sebab saya fikirkan pasukan dan nekad saya untuk membawa Kedah sekali lagi ke final," katanya.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Isnin, 23 Oktober 2017 | 1:24pm

Baddrol mahu Piala Malaysia kekal di Kedah



Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
 
PEMAIN tengah Baddrol Bakhtiar mahu Piala Malaysia kekal di bumi Kedah untuk membuktikan bahawa mereka adalah pasukan yang digeruni di negara ini.

Skuad Helang Merah melakar sejarah tersendiri dengan melangkah ke final kejohanan itu buat kali ketiga berturut-turut selepas mengatasi FELDA United di separuh akhir menerusi agregat 3-1.

Bagaimanapun ia bukan mudah untuk anak buah Nidzam Adzha Yusoff mempertahankan kejuaraan itu seperti yang dilakukan pada 2007-2008 kerana lawan mereka pada final di Stadium Shah Alam 4 November ini adalah juara Liga Super Johor Darul Ta’zim (JDT).

Bagi Baddrol, 29, mereka sudah bersedia untuk membuat perhitungan.

“JDT pasukan yang kuat di Malaysia kerana mereka ada pemain yang memiliki teknik bagus, pemain import yang bagus tapi bagi kami, itu satu cabaran dalam bola sepak.

“Kami akan bermain seperti sebelum-sebelum ini dan kami akan buktikan bahawa pasukan Kedah ini pasukan elit yang begitu digeruni di Malaysia,” katanya.

Ini kali kedua skuad Helang Merah bertemu JDT bagi perebutan piala apabila menjulang trofi Piala Sumbangsih awal tahun ini menerusi penentuan sepakan penalti 5-4 selepas permainan terikat 1-1.

Kedah juga memburu piala ketiga musim ini selepas turut merangkul Piala FA dengan menundukkan Pahang 3-2 di final Mei lalu.

Bagi Baddrol, dia tidak mahu mensia-siakan peluang di final apatah lagi selepas pengorbanannya bermain dalam kesakitan belakang tengkuk dan mukanya akibat pelanggaran dengan rakan sepasukan pada sesi latihan sehari sebelum perlawanan separuh akhir kedua Sabtu lalu.

“Memang saya berada dalam keadaan sakit tapi saya tak hiraukan sakit itu sebab saya fikirkan pasukan dan nekad saya untuk membawa Kedah sekali lagi ke final,” katanya.

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2017 @ 1:19 PM

Selasa, 17 Oktober 2017

Skuad Kenari mula serasi



ARKIB : 06/11/2007

Oleh Shariza Abdullah

ALOR STAR – Tiada apa yang lebih melegakan ketua jurulatih bola sepak Kedah, Mohd. Azraai Khor Abdullah ketika ini apabila melihat pasukan yang dibentuknya untuk mengharungi saingan musim depan menampakkan keserasian dan persefahaman lebih jitu berbanding sebelum ini.

Malah jurulatih berusia 55 tahun itu turut lega apabila memiliki pilihan pemain yang mempunyai kemampuan hampir setanding di setiap posisi.

Lebih memberi harapan kepada jurulatih yang membawa Sang Kenari merangkul tiga kejuaraan mengenai skuad tersebut musim depan ialah persaingan positif antara kesemua pemain untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama.

“Semua pemain kini begitu bersemangat dan bersungguh-sungguh untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama. Apa yang melegakan ialah pemain-pemain yang ditawarkan kontrak dengan Kedah musim ini mempunyai kemampuan yang hampir setanding di posisi masing-masing.

“Keadaan ini boleh dilihat dalam perlawanan persahabatan menentang Pulau Pinang kelmarin apabila Badrol Bakhtiar menjaringkan hatrik. Posisi tersebut kini menjadi rebutan antara Badrol dengan Khyril Muhymeen.

“Persaingan sengit untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama dan kebolehan hanpir setanding antara pemaian di setiap posisi sebenarnya telah memantapkan lagi pasukan Kedah,” katanya di sini semalam.

Dalam perlawanan persabahatan menentang Pulau Pinang malam kelmarin, Kedah menang 4-2 menerusi jaringan hatrik Badrol manakala Zairul Fitri yang baru menyertai Kedah musim ini menyumbangkan satu gol.

Kedah akan melalui satu lagi perlawanan ujian iaitu menentang Selangor pada 11 November ini sebelum sepak mula Liga M yang dijadualkan seminggu selepas itu.

Bagaimanapun Mohd. Azraai berkata, kemampuan dan kebolehan sebenar anak buahnya itu untuk mengekalkan karektor sebagai pasukan juara hanya akan teruji apabila musim baru bermula.

Dalam pada itu, dia memberitahu skuad Kedah yang kini lengkap apabila kesemua pemain termasuk ketiga-tiga pemain import telah melaporkan diri di kem Hijau Kuning sedang berkampung di Langkawi selama tiga hari bermula semalam.

Di pulau peranginan itu, katanya, mereka akan melupakan seketika padang bola sebaliknya akan menumpukan ke arah membentuk kekuatan metal dan kecergasan para pemain.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1106&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4vmKBlS00
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 13 Oktober 2017

PSV lebur harapan Malaysia


ARKIB : 13/08/2007
 
PEMAIN Malaysia (berjersi kuning) dan PSV Eindhoven cuba menenangkan rakan dalam insiden pergaduhan pada perlawanan Kumpulan D Piala Juara-juara Belia (CYC) di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, malam tadi. PSV menang 2-0. – Gambar AMIR HAFIZ RAHMAN.

KUALA LUMPUR – Dua jaringan Stijn Wuytens dan Lars Huttens ke atas Malaysia, membawa PSV Eindhoven mengiringi Bayern Munich dari Kumpulan D selain Flamengo dan AC Milan ke suku akhir bola sepak bawah 19 tahun, Piala Juara-juara Belia, semalam.

Kemenangan kelab Belanda itu sekali gus melenyapkan sisa harapan skuad remaja bimbingan Robert Alberts di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras yang cuba memburu kemenangan bagi menghidupkan peluang daripada koleksi satu mata.

Wuytens merembat hasil umpanan Rymenants Yannick pada minit ke-11 manakala gol kedua diperoleh daripada rembatan kaki kiri Huttens yang menyambar kesilapan tolakan ke belakang oleh seorang pemain pertahanan Malaysia.

Bagaimanapun Malaysia menunjukkan semangat juang tinggi sebelum menyerah menerusi percubaan Wan Aliff Wan Jasmi pada minit kedua, Alif Hafifi minit ke-47 dan Baddrol Bakhtiar minit ke-49 yang sama ada diselamatkan penjaga gol, Zoet Jeroen atau tersasar cuma beberapa inci.

Sedikit insiden pergaduhan pula antara kedua-dua pasukan tercetus pada minit ke-55 sehingga memaksa perlawanan terhenti selama tiga minit dan Wuytens, penjaring sulung PSV dikenakan kad merah oleh pengadil, Muhamad Ibrahim kerana menolak seorang pemain tuan rumah.

Flamengo pula memastikan kemaraan sebagai juara Kumpulan A dengan menumpaskan Ajax 1-0 di gelanggang yang sama sementara AC Milan menundukkan Arsenal 1-0 sebagai naib juaranya di Stadium Darulaman, Alor Star.

Keputusan muktamad kedua-dua Kumpulan A dan D ini meletakkan Flamengo dari Brazil sebagai lawan Bayern Munich, kelab Jerman pada suku akhir manakala AC Milan dari Itali menghadapi PSV Eindhoven, esok dan Rabu.

Kayke Rodrigues menjaringkan gol tunggal Flamengo ketika perlawanan berusia 58 minit selepas memperdayakan penjaga gol Ajax Amsterdam, Roy Ouwerkerk sementara wira kejayaan AC Milan ke atas Arsenal ialah Pierre Aubameyang pada minit ke-30.

Aubameyang berjaya menolak bola melepasi gawang Arsenal pada minit ke-30 selepasl menerima hantaran Alessandro Ruggeri dari sebelah kanan gawang dan tolakannya berjaya mengelirukan penjaga gol, Wojciech Szczesny.

Di Stadium Sarawak, Viktor Bopp memastikan Bayern Munich mengekalkan rekod bersih kelab Jerman itu apabila sepakannya sejauh 25 meter menerjah gawang sekali gus mengikat Chelsea 1-1 dalam satu lagi perlawanan Kumpulan D.

Bayern yang menjadi pasukan pertama ke suku akhir, Jumaat lalu selepas mengutip dua kemenangan ke atas PSV dan Malaysia 2-1, kini mengumpul tujuh mata.

Chelsea mendahului seawal minit pertama menerusi sepakan bebas Lee Sawyor dan hampir mendapat mata penuh sebelum dikecewakan oleh jaringan jarak jauh daripada Bopp pada minit ke-34.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0813&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4vOFL3HhL
© Utusan Melayu (M) Bhd

Malaysia kekang Chelsea - Mesti atasi PSV Eindhoven untuk ke suku akhir

ARKIB : 11/08/2007
Oleh: SAYED HESHAM IDRIS

PEMAIN Malaysia menerima tepukan gemuruh daripada penonton selepas mengikat Chelsea dengan keputusan seri tanpa jaringan di Kuching, semalam. – Gambar ZUL AZHAR SHEBLEE.

KUCHING – Skuad Bawah 19 Tahun Malaysia mencipta kecemerlangan tersendiri apabila mengikat kelab Liga Perdana England, Chelsea 0-0 dalam Kumpulan D bola sepak Piala Juara-Juara Belia di sini, semalam.

Keputusan itu disambut baik lebih 10,000 penonton yang memuji semangat juang pemain negara.

Jurulatih Robert Alberts berkata, pujian harus diberikan kepada para pemain yang berupaya menyaingi sebuah pasukan yang melabur berjuta ringgit untuk program pembangunan remajanya.

Katanya, lebih membanggakan kejayaan itu dicapai oleh pemain negara yang hanya menjalani persediaan selama dua minggu.

‘‘Pujian harus diberikan kepada para pemain muda negara dan saya harap keputusan malam ini membuka mata semua pihak kita juga mampu menyaingi pasukan handalan dunia,” katanya.

Kejayaan mengikat Chelsea semalam turut membuka peluang Malaysia mengintai tempat ke suku akhir.

Begitupun, tegas Alberts, Malaysia perlu menewaskan wakil Belanda, PSV Eindhoven dalam perlawanan terakhir kumpulan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, esok.

‘‘Saya berharap para penyokong di Kuala Lumpur membanjiri stadium untuk memberi sokongan kepada pasukan kebangsaan seperti mana penyokong yang ditunjukkan di Stadium Sarawak pada dua perlawanan awal ,” ujarnya.

Kejayaan mengikat Chelsea dihasilkan menerusi penguasaan anak buah Alberts sejak awal permainan lagi.

Persembahan pemain negara lebih baik berbanding ketika tewas 1-2 kepada Bayern Munich kelmarin.

Malaysia yang menurunkan barisan yang sama ketika menentang Bayern menguasai hampir 20 minit pertama babak awal.

Percubaan terbaik skuad negara menjelma pada minit ke-13 menerusi sepakan percuma Badrol Bakhtiar yang menuju ke penjuru gawang tetapi berjaya ditepis penjaga gol Chelsea,Nikolas Heimann.

Empat minit kemudian, pemain sayap kanan, Mohd. Nazrin Nawi Mohd. melepasi pertahanan lawan Ben Gordon sebelum melakukan hantaran lintang.

Namun, ia gagal disambar kemas oleh Badrol yang dikawal ketat pertahanan lawan.

Chelsea cuba mengimbangi permainan menerusi serangan balas yang hampir menemui penyudah pada minit-22 oleh Lee Sawyor.

Rembatan kencang Sawyor dari kawasan penalti terlepas dari dakapan penjaga gol Khairul Fahmie, mujur bola pantas dikeluarkan oleh ketua pasukan Bunyamin Umar.

Gawang tuan rumah sekali lagi hampir bolos pada minit ke-24 apabila Adam Phillip yang melepasi pertahanan pasukan tuan rumah melakukan sepakan deras kaki kanan.

Namun, penjaga gol Malaysia, Khairul Fahmie lebih bersedia menepis bola.

Pemain tuan rumah yang meneruskan aksi bertenaga selepas rehat tetapi nyaris dikejutkan dengan kealpaan penjaga gol Khairul Fahmie yang gagal menangkap bola hantaran lintang lawan.

Hasil kealpaan itu, Miloslav cuba mengambil kesempatan tetapi pantas diasak oleh Badol Bakhtiar dan Muhammad Ibnu Kassim untuk menyelamatkan keadaan.

Peluang terbaik tuan rumah hadir pada minit ke-56 menerusi Badrol yang membuat larian solo melepasi pertahanan lawan namun sekadar melepaskan sepakan lemah yang terus ke dakapan penjaga gol, Nicolas.

Jack Cork hampir memastikan kemenangan Chelsea pada minit ke-62 menerusi tandukan kencang yang menuju ke penjuru gawang Malaysia tetapi berjaya ditangkap kemas Khairul Fahmie

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0811&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4vNx56W00
© Utusan Melayu (M) Bhd

Khamis, 12 Oktober 2017

Kalah bermaruah

ARKIB : 09/08/2007
Oleh SAYED HESHAM IDRIS dan SHARIZA ABDULLAH
Pemain-pemain Malaysia meraikan jaringan gol penyamaan Badrol Bakhtiar menentang Bayern Munich pada Piala Juara-Juara Belia di Stadium Sarawak, semalam. – Gambar ZUL AZHAR SHEBLEE.

KUALA LUMPUR – Jaringan pada babak akhir Viktor Bopp menafikan hasrat skuad negara untuk mengikat Bayern Muncih pada perlawanan pembukaan Kumpulan D Kejohanan Bola Sepak Piala Juara-Juara Belia (CYC) apabila tewas 1-2 di Stadium Sarawak, semalam.

Jaringan Bopp pada minit ke-70 menerusi sepakan deras dalam kotak penalti menewaskan penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmie sekaligus mengecewakan anak buah Robert Alberts yang beraksi kemas sepanjang perlawanan.

Percaturan formasi 5-4-1 anak buah Robert Alberts berjaya apabila pasukan tuan rumah sentiasa memberi saingan sepanjang perlawanan apabila tidak patah semangat sekalipun ketinggalan 0-1 pada masa kecederaan babak pertama menerusi Gianluca Simari yang menyempurnakan hantaran silang Diminik Rohracer.

Malaysia bangkit pada babak kedua dengan menambah asakan ke kubu lawan dan akhirnya gol penyamaan muncul pada minit ke-54 menerusi gol sendiri ketua pasukan, Bjorn Kopplin yang tertampan bola lintang Badrol Bakthiar.

Terdahulu Malaysia sepatutnya memperoleh sepakan penalti pada minit ke-15 apabila bola jelas terkena tangan kanan pemain pertahanan, Jakob Engelmann, namun ia dinafikan oleh pengadil Mohammad Hamidin Shahbuddin.

Pujian harus diberikan kepada penjaga gol, Khairul Fahmie Che Omar yang berjaya mengawal gawang dari mudah dibolosi.

Alberts ketika ditemui selepas perlawanan berkata, pujian harus diberikan kepada pemain muda negara kerana berjaya memberikan persembahan terbaik.

Katanya, para pemain mengikut segala perancangan dengan bermain pantas bagi mengimbangi pergerakan lawan.

‘‘Memang ramai yang meramalkan kita akan dibelasah oleh Bayern tetapi kalah hanya dengan satu gol merupakan satu keputusan yang tidak mengecewakan.

‘‘Kita akan berusaha memperbaiki kelemahan pada perlawanan seterusnya,” katanya.

Dalam satu lagi perlawanan kumpulan sama, wakil Belanda, PSV Eindhoven menundukkan Chelsea 1-0.

Pemain gantian, Nigel Hasselbaink yang baru seminit dimasukkan menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-46 apabila memperdayakan pertahanan lawan sebelum merembat deras menewaskan penjaga gol Jeroen Zoet.

Sementara itu, dalam saingan pembukaan Kumpulan A, gergasi kelab bola sepak Itali, AC Milan hanya mampu seri 1-1 dengan Flamengo di Stadium Darul Aman, Alor Setar, semalam.

Dalam perlawanan yang turut disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta dua anak mereka, kedua-dua pasukan gagal mempamerkan persembahan menarik dengan tidak banyak peluang dicipta sepanjang perlawanan.

Hanya di babak kedua gol berjaya dijaringkan dengan Flamengo lebih dulu di depan menerusi pemain gantian, Pedro Mogueira yang bijak menyambar bola umpanan Vander Viera dari sebelah kiri gawang Milan untuk membolehkan pasukannya mendahului 1-0.

Pierre Aubame muncul penyelamat Milan untuk mengutip sekurang-kurangnya satu mata apabila menyamakan kedudukan pada minit ke-58 selepas menolak masuk bola yang gagal ditampan kemas oleh Offredi hasil percubaan pemain tersebut sebelum itu.

Satu lagi perlawanan Kumpulan A menyaksikan Arsenal turut seri tetapi tanpa jaringan dengan Ajax Armsterdam.

Meski pun kelab gergasi Liga Perdana England dan Belanda itu mempamerkan persembahan menarik dengan masing- masing melancarkan gerakan berbahaya, namun kedua-dua pasukan perlu menyalahkan diri sendiri kerana gagal merebut peluang menjaringkan gol yang dicipta sejak wisel permainan ditiupkan.

Keempat-empat pasukan akan kembali beraksi Jumaat ini

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0809&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4vIpEnUrT
© Utusan Melayu (M) Bhd