Khamis, 12 Oktober 2017

CYC gelanggang bola sepak masa depan



ARKIB : 08/08/2007

KUALA LUMPUR – Hari ini tirai kejohanan yang disifatkan bola sepak masa depan dunia - Piala Juara-juara Belia (CYC) bakal disingkap oleh aksi Flamengo, AC Milan, Ajax Amsterdam dan Arsenal di Stadium Darul Aman, Alor Star dan Malaysia, Bayern Munich, PSV Eindhoven dan Chelsea di Stadium Sarawak, Kuching.

Mungkin ramai pemain pasukan CYC termasuk dari Juventus, Paris St. Germain, Barcelona, Qatar, Boca Juniors, Inter Milan, Porto dan Manchester United belum begitu dikenali tetapi perlu diingat bahawa kehebatan Thierry Henry, Michael Owen, David Trezeguet dan Ramon Riquelme kini asalnya diasah daripada Kejohanan Belia Dunia di Malaysia, 10 tahun lalu.

Malah CYC sebenarnya tidak kurang hebat kerana menampilkan antaranya anak bekas penyerang Belanda, Jimmy Floyd Hasselbaink - Nigel Hasselbaink yang mewakili PSV Eindhoven; Scott Sinclair yang berpengalaman Liga Perdana England musim lalu bersama Chelsea serta dua pemain skuad senior Manchester United, Kieran Lee dan Michael Barnes.

Jurulatih skuad remaja Paris St. Germain (PSG), David Bechkoura menurunkan tiga penyerang muda berbakat besar, Reysa Soudant, Jeremy Courbera dan Ted Bolongo daripada skuad remaja Perancis.

Duta kelab Chelsea, Frank Arnassen berkata, “CYC juga merupakan sebahagian daripada program pembangunan 10 tahun kami dalam mencungkil bakat.”

Kata duta kelab United, Brian McClair, “kami memiliki tradisi melahirkan pemain muda berbakat. David Beckham, Gary Neville dan Nicky Butt merupakan segelintir daripadanya. Mereka menjadi manusia yang lebih baik walaupun bukan sebagai pemain.”

Kata Robert Alberts, jurulatih Malaysia: “Menerusi CYC, saya ingin melihat kedudukan sebenar pasukan Malaysia apabila menentang pasukan antarabangsa.”

Menurutnya, skuad remaja negara yang hanya memiliki empat pemain berpengalaman antarabangsa seperti Bunyamin Omar, Asraruddin Putra Omar, Baddrol Bakhtiar dan Wan Aliff Wan Jasmi, diharapkan dapat bermain dengan penuh kebanggaan dan semangat pantang menyerah.

“Saya cukup berpuas hati jika mereka bermain begitu. Mereka mungkin kekurangan saiz tetap masih boleh menyaingi dengan kepintaran,” kata bekas jurulatih Kedah pemenang tiga piala dan bakal berdepan Lim Teong Kim, bekas bek Malaysia yang kini salah seorang jurulatih remaja Bayern Munich, petang ini

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0808&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4vIIXzZD4
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan