ARKIB : 06/11/2007
Oleh Shariza Abdullah
ALOR STAR – Tiada apa yang
lebih melegakan ketua jurulatih bola sepak Kedah, Mohd. Azraai Khor Abdullah
ketika ini apabila melihat pasukan yang dibentuknya untuk mengharungi saingan
musim depan menampakkan keserasian dan persefahaman lebih jitu berbanding sebelum
ini.
Malah jurulatih berusia 55
tahun itu turut lega apabila memiliki pilihan pemain yang mempunyai kemampuan
hampir setanding di setiap posisi.
Lebih memberi harapan kepada
jurulatih yang membawa Sang Kenari merangkul tiga kejuaraan mengenai skuad
tersebut musim depan ialah persaingan positif antara kesemua pemain untuk
merebut tempat dalam kesebelasan utama.
“Semua pemain kini begitu
bersemangat dan bersungguh-sungguh untuk merebut tempat dalam kesebelasan
utama. Apa yang melegakan ialah pemain-pemain yang ditawarkan kontrak dengan
Kedah musim ini mempunyai kemampuan yang hampir setanding di posisi
masing-masing.
“Keadaan ini boleh dilihat
dalam perlawanan persahabatan menentang Pulau Pinang kelmarin apabila Badrol
Bakhtiar menjaringkan hatrik. Posisi tersebut kini menjadi rebutan antara
Badrol dengan Khyril Muhymeen.
“Persaingan sengit untuk
merebut tempat dalam kesebelasan utama dan kebolehan hanpir setanding antara
pemaian di setiap posisi sebenarnya telah memantapkan lagi pasukan Kedah,” katanya
di sini semalam.
Dalam perlawanan persabahatan
menentang Pulau Pinang malam kelmarin, Kedah menang 4-2 menerusi jaringan
hatrik Badrol manakala Zairul Fitri yang baru menyertai Kedah musim ini
menyumbangkan satu gol.
Kedah akan melalui satu lagi perlawanan
ujian iaitu menentang Selangor pada 11 November ini sebelum sepak mula Liga M
yang dijadualkan seminggu selepas itu.
Bagaimanapun Mohd. Azraai
berkata, kemampuan dan kebolehan sebenar anak buahnya itu untuk mengekalkan
karektor sebagai pasukan juara hanya akan teruji apabila musim baru bermula.
Dalam pada itu, dia memberitahu
skuad Kedah yang kini lengkap apabila kesemua pemain termasuk ketiga-tiga
pemain import telah melaporkan diri di kem Hijau Kuning sedang berkampung di
Langkawi selama tiga hari bermula semalam.
Di pulau peranginan itu,
katanya, mereka akan melupakan seketika padang bola sebaliknya akan menumpukan
ke arah membentuk kekuatan metal dan kecergasan para pemain.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1106&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4vmKBlS00
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan