Rabu, 4 Oktober 2017

Kedah rayu FAM lepas enam pemain

Oleh SHARIZA ABDULLAH
JITRA – Menjelang kemuncak saingan bola sepak Liga Super yang disambung semula Rabu ini, juara Piala FA, Kedah merayu simpati Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) supaya melepaskan enam pemain utamanya yang dipanggil menyertai skuad kebangsaan.

Enam pemain itu ialah Badrul Bakhtiar dan Bunyamin Omar yang bersama skuad remaja kebangsaan untuk menghadapi kejohanan Piala Juara-juara Belia (CYC) bermula 8 Ogos ini, manakala Saramsak Kram, Sabri Abu, Mohd. Khyril Muhymeen dan V. Thirumurugan menyertai skuad bawah 23 negara.

Ketiadaan enam tonggak pasukan Hijau Kuning itu jelas meresahkan pengurusan Sang Kenari yang berhasrat merangkul trofi kedua pada musim ini selepas berjaya menggenggam Piala FA penghujung Jun lalu.

Pengurus pasukan Kedah, Datuk Othman Aziz berkata, dalam situasi sekarang, skuad Kedah amat memerlukan khidmat pemain-pemain utama supaya usaha dimulakan sejak awal musim boleh menjadi kenyataan.

Oleh itu katanya, jasa baik badan induk bola sepak negara itu dengan melepaskan keenam-enam pemain tersebut amat ditagih oleh skuad Kedah.

“Saingan liga sudah hampir menuju ke puncaknya dengan berbaki dua atau tiga perlawanan sahaja lagi.

Kritikal

“Pada saat kritikal macam ini, Kedah tidak mahu kehilangan khidmat hampir separuh daripada skuad kerana ia akan menjejaskan rentak pasukan yang amat memerlukan kemenangan dalam kesemua baki perlawanan.

“Kedah merayu ihsan FAM supaya melepaskan pemain-pemain berkenaan bagi membolehkan mereka membantu skuad negeri,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Saingan Liga Super yang terhenti sejak sebulan lalu bagi memberi laluan kepada Piala Asia akan disambung semula Rabu ini dengan pasukan Kedah akan bertemu Negeri Sembilan di Stadium Darul Aman.

Skuad bimbingan Mohd. Azraai Khor Abdullah itu kini bertarung hebat dengan pasukan Perak bagi merebut gelaran juara liga apabila masing-masing mengumpul 49 mata daripada 22 perlawanan.

Othman berkata, sudah tiba masanya FAM menunjukkan sedikit budi bicara kepada pasukan negeri dengan melepaskan pemain tatkala khidmat mereka amat diperlukan.

“Kami telah menjaga dan membayar gaji kepada pemain-pemain dan ia merupakan satu kerugian jika mereka tidak boleh beraksi pada saat genting kerana bersama skuad negara,” katanya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0730&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4uY8ciJxt
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan