ARKIB : 04/04/2008
KUALA LUMPUR – Jurulatih bola
sepak Kedah, Mohd. Azraai Khor Abdullah berpuas hati dengan prestasi pemain
mudanya selepas menang 3-1 pada perlawanan Piala AFC ke atas pasukan South
China dari Hong Kong walaupun mereka kini dihantui masalah kecederaan, lapor
FERZALFIE FAUZI.
Azraai berkata, walaupun
beberapa pemain utama pasukannya sedang berhadapan dengan masalah kecederaan
namun rata-rata pemain muda yang diturunkan dalam pertemuan di tempat lawan itu
berjaya menunjukkan satu permainan yang hebat
“Pemain muda yang saya turunkan
ini masih lagi dalam proses pembelajaran tetapi mereka sudah menunjukkan
peningkatan permainan dari semasa ke semasa dan dalam perlawanan tersebut
mereka sudah berjaya buktikan tahap permainan mereka,’’ katanya ketika dihubungi
Utusan Malaysia semalam.
Jelasnya, pemain muda seperti
Baddrol Bakhtiar, Mohd. Sabre Mat Abu, Mohd. Fadly Baharum dan Mohd. Nizam
Mansor menunjukkan permainan yang tidak menghampakan dan jelas semalam
merupakan satu persembahan permainan yang menarik.
“Ketiadaan Hasmawi Hassan,
Victor Andrag, Ahmad Fauzi Shaari yang cedera sedikit pun tidak menjejaskan
corak permainan Kedah yang dapat menyerap tekanan beraksi di Stadium Mongkok,
Hong Kong.
“Malah, walaupun Mohd. Khyril
Muhymeen Zambri yang dibawa ke Hong Kong tidak diturunkan, namun ternyata
pemain muda mampu menggalas cabaran bagi mengutip tiga mata berharga di tempat
lawan,’’ kata Azraai.
Ujar Azraai, masalah kecederaan
pemain sudah menghantui Kedah sejak dari perlawanan Liga Super ketika bertemu DPMM
Brunei lagi terutamanya selepas kehilangan pemain penyerang, Mohd. Syafiq Jamal
yang rebah selepas dirempuh dengan kasar.
“Setakat ini keadaan Syafiq
tidak begitu membimbangkan dan selepas menerima rawatan di hospital, doktor
menasihatkannya untuk berehat selama dua bulan selepas mengalami gegaran otak
dalam perlawanan tersebut,’’ katanya.
Kedah sekarang ini mengumpul
enam mata dalam kejohanan Piala AFC dengan berada di tangga kedua di bawah
pasukan Home United dari Singapura bagi kumpulan D.
Selepas ini mereka akan
menerima kunjungan South China di Stadium Darul Aman untuk pusingan kedua
kejohanan tersebut.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0404&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4yrJo8lsG
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan