ARKIB : 03/04/2008
KUALA LUMPUR – Dua wakil
Malaysia, Kedah dan Perak menghidupkan peluang untuk melayakkan diri ke
pusingan kedua kalah mati selepas menewaskan lawan masing- masing di peringkat
kumpulan Piala AFC, semalam, lapor KAMARUDDIN ISMAIL.
Kedah yang beraksi di tempat
lawan iaitu di Stadium Mongkok, Hong Kong menewaskan wakil tuan rumah, kelab
South China 3-1 dalam saingan Kumpulan D
Badrul Bakhtiar membuka tirai
jaringan buat pasukan pelawat pada minit ke-31 selepas menyambut hantaran
lintang Marlon Alex James dalam kotak penalti untuk menolak bola masuk dari
jarak dekat.
Bagaimanapun South China
bangkit menyamakan kedudukan menerusi tandukan Cristiano Alves Pereira pada
minit ke-59 yang berpunca daripada sepakan sudut.
Tetapi Kedah hanya memerlukan
enam minit selepas itu untuk kembali di depan menerusi Marlon yang menyambut
hantaran Nelson San Martin.
Pemain gantian, Saramsak Kram menambah
derita South China dengan gol ketiga pada minit ke-85 juga selepas menampan
mudah dari jarak dekat.
Kemenangan itu membolehkan
Kedah menghuni tangga kedua Kumpulan D di belakang wakil Singapura, Home United
dengan enam mata daripada tiga perlawanan.
Sementara itu, Perak yang
beraksi di tempat sendiri di Stadium Perak pula menewaskan satu lagi kelab Hong
Kong, Kitchee FC 2-1 dalam saingan Kumpulan E.
Pemain import Perak, Mario
Barios muncul wira dengan menjaringkan gol kemenangan pada minit-minit akhir
permainan selepas kedudukan terikat 1-1.
Mario bijak mencuri ruang
daripada keadaan kelam kabut di depan pintu gol Kitchee FC untuk memberi tiga
mata bermakna buat Perak.
Sebelum itu, Perak lebih dulu
mendahului menerusi jaringan cantik dari jarak 35 meter yang dilakukan Hardi
Jaafar pada minit ke-11.
Pasukan pelawat kemudiannya
berjaya menyamakan kedudukan menerusi Goran Stankovski pada minit ke-73.
Seperti Kedah, kemenangan itu
membolehkan Perak melonjak ke tangga kedua di belakang Angkatan Tentera
Singapura dengan enam mata daripada tiga perlawanan.
Kedua-dua wakil Singapura turut
mencatat kemenangan semalam untuk muncul sebagai pendahulu dengan sembilan
mata.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0403&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4yr9ZHLMX©
Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan