ARKIB : 05/04/2008
PETALING JAYA – Setiausaha
Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Lt. Jen. (B) Datuk Azzuddin Ahmad
menggesa jurulatih pasukan dua pemain yang dihantar berlatih dengan Chelsea,
Bunyamin Umar dan Baddrol Bakhtiar melepaskan mereka dengan rela hati demi
tugasan kepada negara.
Katanya, penempatan mereka
selama dua minggu di kelab Liga Perdana England itu merupakan peluang keemasan
yang sukar diperoleh dan wajar diutamakan biar pun FAM memahami keadaan genting
yang dihadapi Kedah khususnya dalam mempertahankan gelaran Liga Super dan Piala
FA ketika ini.
“Kami menghargai kerelaan
(jurulatih Baddrol di Kedah, Azraai Khor Abdullah dan Bunyamin di UPB-MyTeam,
Bojan Hodak) melepaskan mereka. Walaupun sesi ini berupa latihan singkat dan bukannya
ujian pemilihan, dua pemain ini diharap dapat kembali memanfaatkannya untuk
menyumbangkan peningkatan bola sepak negara.
“Mereka akan berada di Stamford
Bridge untuk berlatih di Akademi Chelsea bersama pasukan simpanan atau belia
kelabnya dari 6 hingga 21 April ini,” katanya pada sidang akhbar mengenai
penghantaran mereka dengan kerjasama Majlis Sukan Negara dan penganjur Piala
Juara-Juara Belia (CYC) di Wisma FAM, semalam.
Pemergian mereka di bawah
penajaan MSN dan hasil daya usaha penganjur CYC, Gifted Group Ltd. merupakan
yang kedua selepas Khairul Fahmi Che Mat (Harimau Muda) dan Asraruddin Putra
Omar (Selangor) ke PSV Eindhoven.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0405&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4yrTYkR00
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan