
REZAL ZAMBERY YAHYA (depan)
bersama barisan kepemimpinan PFAM bagi sesi 2017-2019.
10 Disember 2017 8:25 PM
KUALA LUMPUR 10 Dis. - Selain
akan terus memperjuangan hak pemain, melahirkan lebih ramai golongan terpelajar
dalam kalangan pemain bola sepak tempatan antara sasaran utama Persatuan Pemain
Bola Sepak Profesional (PFAM) tahun depan.
Presiden baharu PFAM, Rezal
Zambery Yahya berkata, bagi memastikan pemain mempunyai peluang pekerjaan yang
lebih luas selepas menggantung but, adalah penting untuk mereka memiliki
pendidikan yang formal.
“Pada tahun 2018 PFAM merangka
untuk menambah peluang pendidikan kepada pemain dengan berkerjasama beberapa
institusi pengajian tinggi (IPT) bagi memastikan pemain mendapat pendidikan
formal yang berguna untuk masa depan mereka.
“Ia juga akan membuka peluang
pekerjaan menerusi penubuhan akademi sendiri yang akan diusahakan oleh PFAM
dengan dikendalikan oleh ahli-ahli PFAM,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Rezal, 39, yang pernah menyarung
jersi skuad kebangsaan sepanjang zaman kegemilangannya bagaimanapun menegaskan,
memperjuangkan hak pemain bola sepak profesional di negara ini akan terus
menjadi agenda PFAM yang ditubuhkan empat tahun lalu, apatah lagi Liga Malaysia
(Liga M) belum ‘bersih’ sepenuhnya daripada isu kontrak serta gaji pemain.
Justeru, penubuhan National
Dispute Resolution Chamber (NDRC) yang bertindak sebagai tribunal timbangtara
khas tahun depan diharap dapat menyelesaikan isu-isu kontrak pemain.
“Kami akan mempergiat usaha untuk
memperbaiki kontrak pemain di Malaysia dan bekerjasama dengan FAM (Persatuan
Bola Sepak Malaysia) untuk menubuhkan NDRC iaitu tribunal timbangtara khas
untuk isu-isu kontrak pemain.
“Masih ada isu yang belum
selesai, dalam perhatian Jawatankuasa Status FAM dan FIFA (Persekutuan Bola
Sepak Antarabangsa). Harap pada 2018 kami dapat menyelesaikan lebih banyak kes
berkaitan tunggakan gaji dan kontrak pemain.
“Isu yang sering dingkitkan oleh
ahli adalah tunggakan gaji dan penamatan kontrak pemain secara tidak adil. Kami
di PFAM merasakan sudah tiba masanya pasukan mengambil serius perkara ini
supaya profesionalisme dalam bola sepak Malaysia dapat diangkat, seiring dengan
usaha FAM yang ingin memastikan setiap pasukan mempunyai tatacara pentadbiran
yang tersusun, selari dengan Peraturan Pelesenan Kelab,” katanya lagi. - UTUSAN
ONLINE 10 Disember 2017 8:25 PM
AHLI JAWATANKUASA PFAM SESI
2017-2019
PRESIDEN
Rezal Zambery Yahya
TIMBALAN PRESIDEN
Hairuddin Omar
SETIAUSAHA
Ahmad Fauzi Saari
BENDAHARI
Rudie Ramli
AHLI JAWATANKUASA
Mohd. Fairuz Abdul Aziz
Shahrom Kalam
Mohd Razman Roslan
Baddrol Bakhtiar
SUMBER-UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan