
PEMAIN Kedah sudah bersedia untuk
memberi cabaran kepada JDT dalam aksi 'buku bertemu ruas' di Alor Setar, esok.
27 Mac 2019 7:02 PM
KUALA LUMPUR 27 Mac - Kapten
Kedah, Baddrol Bakhtiar berharap skuad Lang Merah dapat mempertahankan rekod
tanpa bolos bermain di laman sendiri menjelang aksi getir bertemu juara
bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Darul Aman, Alor Setar
Jumaat ini.
Baddrol bagaimanapun menyedari,
ia bukan satu tugas yang mudah buat Kedah ketika berdepan juara Piala AFC 2015
itu yang memiliki rekod jaringan ampuh selepas menyaksikan JDT meledak 16 gol
sepanjang 6 perlawanan musim ini.
Jelas pemain tengah berusia 31 tahun
itu, dia berharap tuah bermain di laman sendiri akan memihak kepada Lang Merah
dalam misi mengejar Harimau Selatan yang kini mengumpul 16 mata.
Sebagai rekod, Kedah mencatatkan
kemenangan 4-0 ke atas Felda United dan seri tanpa jaringan bertemu PKNS FC
sepanjang bermain di Stadium Darul Aman.
“Sudah pasti aksi bertemu JDT
sentiasa memberikan saingan dan saya berharap kami masih berupaya
mempertahankan rekod tanpa bolos di (Stadium) Darul Aman nanti.
“Ia sedikit sebanyak memberikan
motivasi kepada kami tetapi kami sedar bahawa ia bukan satu tugas yang mudah
apabila JDT memiliki rekod jaringan yang lebih baik tetapi kami telah bersedia
untuk memberikan cabaran dalam misi merakamkan keputusan positif,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Baddrol
juga mahu pertemuan skuad Harimau Selatan dapat dijadikan titik permulaan
kebangkitan Kedah selepas mereka tewas 0-1 kepada Pahang di Stadium Darul
Makmur, Kuantan 8 Mac lalu.
“Kedah mahu kekal lebih konsisten
dan saya akui kecewa apabila kami tewas kepada Pahang pada perlawanan terdahulu
dan sudah pasti Kedah mahu mendapatkan tiga mata bertemu JDT.
“Bagaimanapun harus diingatkan
bahawa JDT adalah antara salah satu pasukan terbaik negara dan seperti saya
katakan tadi, ia bukan satu tugas yang mudah tetapi dalam masa yang sama kami
tetap berusaha untuk mencapai satu keputusan positif itu nanti.
“Lebih tepat, kami berharap dapat
mengelakkan kekalahan ketika bermain di laman sendiri,” ujarnya.
Kedah yang meraih 11 mata dan
menduduki tangga ketiga Liga Super, kini ketinggalan tiga mata di belakang
Pahang (14 mata) dan lima mata di belakang JDT.-SUMBER UTUSAN ONLINE 27 Mac
2019 7:02 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan