Piala Unity Shield

menunjukkan piala Unity Shield
pada sidang akhbar, hari ini. Turut hadir, Ketua Jurulatih Kedah, Aidil Sharin
Sahak (kiri) dan Ketua Jurulatih Perak, Mehmet Durakovic (kanan). - UTUSAN
ONLINE/FARIZ RUSADIO
MUHAMAD AIMY AHMAD
11 Januari 2019 5:39 PM
ALOR SETAR 11 Jan. - Di sebalik
kontroversi melanda bintang muda Kedah, Muhammad Akyhar Rashid, Lang Merah mahu
memulakan kempen Liga Malaysia pada tahun ini dengan menjuarai Piala Unity
Shield yang julung-julung kali diperkenalkan dalam pertemuan menentang Perak di
Stadium Darul Aman, Ahad ini.
Kejuaraan edisi pertama yang
dianjurkan antara kedua-dua badan induk bola sepak itu akan diadakan secara
giliran dengan Kedah akan menjadi tuan rumah kali ini, diikuti pertembungan di
Perak tahun depan.
Menyuarakan keyakinan, Kapten
Lang Merah, Baddrol Bakhtiar berkata, beliau dan rakan-rakan termasuk barisan
pemain import baharu akan mempamerkan persembahan bermutu di hadapan penyokong
sendiri dan seterusnya menjulang piala yang melambangkan perpaduan antara
kedua-dua pasukan itu.
"Apa yang kita tahu Perak
adalah pasukan kuat yang dibarisi pemain kebangsaan dan jurulatih berkualiti,
manakala Kedah boleh dikatakan ada perubahan baharu dengan suasana, semangat
dan kombinasi yang berbeza.
"Jadi, apa yang penting kami
akan bermain dengan baik, berikan apa yang kami ada kerana Kedah mahu menjulang
piala ini sebagai edisi permulaan di Darul Aman," katanya dalam sidang akhbar
memperkenalkan piala tersebut di sini hari ini.
Bagi pengendali Kedah, Aidil
Sharin Sahak, skuadnya mengambil serius perlawanan tersebut dan anak-anak
buahnya akan memberi tentangan sengit kepada Perak yang merupakan juara
bertahan Piala Malaysia.
"Apa yang saya harapkan
daripada pemain dalam sesi latihan dan perlawanan persahabatan sebelum ini akan
diterjemahkan dalam pertembungan menentang Perak, malah kami juga akan
menurunkan pemain-pemain import baharu yang pastinya dinanti-nantikan
penyokong.
"Persiapan rapi telah
diadakan untuk pertemuan ini kerana perlawanan ini juga adalah ujian yang
terbaik kepada pasukan dan saya berharap keputusan baik akan memihak kepada
Kedah," katanya.
Sementara itu, jurulatih Perak,
Mehmet Durakovic mengganggap Piala Unity Shield tidak berbeza dengan
kejohanan-kejohanan utama lain dalam Liga Malaysia dan skuad Bos Gaurus
bersedia mempamerkan persembahan berkualiti dalam perlawanan itu.
"Terima kasih kepada
Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) kerana menjemput kami untuk berada dalam
sebahagian perlawanan ini, kami amat menghargainya dan menyokong idea
pengenalan Piala Unity Shield antara pasukan Perak dan Kedah.
"Perak akan menurunkan
barisan terbaik dalam perlawanan itu dan bermain dengan penuh semangat untuk
mendapatkan keputusan yang baik," katanya.
Kapten Perak, Nazirul Naim Che
Hashim pula berkata, keserasian pasukan yang dibarisi kebanyakan pemain tahun
lalu tidak akan menimbulkan masalah besar untuk memberi tentangan dalam
perlawanan itu memandangkan mereka sudah mengenali corak permainan
masing-masing.
Peminat kedua-dua pasukan yang
mahu menyaksikan perlawanan itu boleh mendapatkan tiket terbuka berharga RM10
dan RM20 bagi astaka utama yang akan mula dijual pada pukul 10 pagi, Ahad ini.
-SUMBERB UTUSAN ONLINE11 Januari 2019 5:39 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan