Ahad, 17 Disember 2017

Fadzli, Baddrol diketepikan

ARKIB : 21/01/2009
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my
PETALING JAYA – Jurulatih negara, B. Sathianathan (gambar) menggugurkan dua lagi pemain, Fadzli Saari dan Baddrol Bakhtiar daripada senarai 18 terakhir bagi menghadapi Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam perlawanan bola sepak Kumpulan C Kelayakan Piala Asia 2011, malam ini.

Katanya, keputusan menggugurkan pemain tengah KL PLUS dan sayap kanan Kedah itu bukan bererti mereka tidak bagus tetapi hasil ujian kecergasan mendapati kedua-duanya tidak mencapai tahap yang dikehendaki bagi bermain pa

da perlawanan antarabangsa.

“Farizal Marlias pula diletakkan sebagai simpanan jika sebarang kejadian berlaku kepada dua penjaga gol utama kita, Syamsuri Mustafa dan Syed Adney Syed Hussein,” katanya pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Menurut Sathianathan, ujian berkenaan turut mengesan hanya tiga pemain negara yang mencapai tahap cemerlang untuk menyertai perlawanan antarabangsa yang setaraf aksi sulung kelayakan menentang UAE di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.

“Saya tidak boleh dedah siapa yang berkenaan tetapi saya tidak akan menjadikan alasan pemain kurang cergas dengan sebarang keputusan perlawanan itu nanti. Saya tahu Liga Malaysia baru bermula dan mungkin ada jurulatih yang tidak mahu pemainnya memuncak terlalu awal.

“Namun, jika pemain mengekalkan disiplin dan mematuhi arahan serta berjuang habis-habisan apatah lagi dengan kelebihan bermain di gelanggang sendiri, saya percaya kami masih mempunyai peluang untuk menang,” ujarnya.

Katanya, UAE diakui mempunyai serba-serbi kelebihan terutama dari segi ranking dunia, tahap persediaan dan kemampuan pemain tetapi ia tidak bererti mereka tidak boleh diatasi.

“Memang pengaruhnya di padang tidak akan setanding ketua pasukan asal, Shukor Adan (digugurkan kerana kecederaan) yang bagi saya umpama jeneral yang sering dihormati rakan sepasukan dan sentiasa konsisten serta berani merebut bola.

“Dalam posisi lama Shukor, saya harapkan Indra Putra Mahayuddin mampu mengulangi aksi cemerlang seperti ketika Piala Suzuki AFF, bulan lalu dan dibantu oleh Hardi dengan kepintarannya dalam mengemudikan bahagian tengah bertahan itu,” katanya.

Sementara itu, Hardi yang diberi kepercayaan di posisi baru tersebut, mengakui rentak pasukan bakal berbeza tanpa Shukor tetapi yakin dia mampu menjayakan tugas itu seperti mana ketika beraksi dengan Selangor dalam Liga Super, baru-baru ini.

“Saya dan Indra akan menilai keadaan perlawanan dengan UAE untuk bertindak sama ada secara bertahan atau menyerang dari situ. Memang lawan mempunyai pemain yang bersaiz lebih besar tetapi bagi saya, ia bukan masalah besar.

“Kami turut mengintai dan berjanji untuk memanfaatkan sekiranya muncul sebarang peluang yang boleh menghasilkan gol menerusi gerakan bola mati (sepakan bebas atau sepakan sudut),” katanya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0121&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz51WLz5rtO

© Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 6 Disember 2017

Piala AFC: Kedah tersingkir dengan agregat 7-1

ARKIB : 24/09/2008
Oleh SHARIZA ABDULLAH
 
pemain kedah, Baddrol Bakhtiar (kiri) bersaing dengan lawannya dari Muharraq, Mahmood Abdul Rahman dalam pertemuan suku akhir kedua di Alor Star, malam tadi. Kedah tewas 1-2.

ALOR SETAR - Seperti diramal Kedah tersingkir daripada Kejohanan Piala AFC apabila tewas 1-2 kepada kelab Bahrain, Muharraq FC pada perlawanan suku akhir kedua di Stadium Darulaman, semalam.

Keputusan itu menjadikan Muharraq menang secara agregat 7-1 ke atas Kedah selepas menang besar 5-0 dalam perlawanan pertama di Manama, Bahrain minggu lalu.

Tanpa kelibat pemain import yang terpaksa meninggalkan saingan liga tempatan, Kedah jelas pincang di jentera serangan.

Kelebihan selaku tuan rumah gagal dimanfaatkan, sebaliknya pelawat selesa mendahului 2-0 dalam babak pertama menerusi import dari Brazil, Leandson Dias Da Silva pada minit ke-29 dan 40.

Kedah bermula garang pada awal permainan dengan melancarkan percubaan menerusi Mohd. Fadly Baharum pada minit keenam tetapi percubaannya berjaya ditepis oleh penjaga gol Muharraq, Abdullah Mohamed Hazza.

Selepas mengusai perlawanan pada 20 minit awal, Kedah kelihatan longlai dan menerima tamparan hebat apabila Leandson menjaringkan gol pertama Muharraq.

Leanson menerima hantaran cantik dari Mohamed Yusof Salmeen yang mengelecek beberapa pemain pertahanan Kedah sebelum itu.

Pintu gol Kedah bocor buat kali kedua kali ini menerusi sepakan penalti yang berjaya disempurnakan oleh Leandson selepas penjaga gol Kedah, Helmi Eliza Elias menjatuhkan Mohamed Jaafar Alzain.

Akhirnya Kedah berjaya menjaringkan gol sagu hati pada minit ke-69 menerusi tandukan Fadly hasil sepakan penjuru yang diambil oleh Baddrol Bakhtiar.

Selepas jaringan tersebut, Kedah mula menguasai perlawanan tatkala pemain Muharraq keletihan, namun tiada tambahan jaringan dapat dilakukan oleh pasukan Kenari itu.

Turut hadir menyaksikan perlawanan itu ialah Sultan Kedah, Tunku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan kira-kira 5,000 penyokong yang hadir memberi sokongan.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0924&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz50TJxLdJ9

© Utusan Melayu (M) Bhd

Khamis, 30 November 2017

Kedah menewaskan Selangor 3-2 dalam perlawanan akhir Piala Malaysia

ARKIB : 23/08/2008
23/08/2008 11:12pm

KUALA LUMPUR 23 Ogos — Juara bertahan Kedah mengekalkan kejuaraan Piala Malaysia dua musim berturut-turut dengan menewaskan Selangor 3-2 di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini malam ini.

Separuh masa pertama: Selangor 1 Kedah 3

Penyerang: SELANGOR - Frank Seator (minit 18), Mohd Safee Mohd Salee (77); KEDAH - Marlon Alex James (31), Nelson San Martin (32), Mohd Fadly Baharom (37).

Barisan Pemain:

SELANGOR - Mohd Suffian Abd Rahman, Mohd Razman Roslan, Evans Chisulo, Mohd Shukor Adan, Mohd Amri Yahyah, Mohd Asraruddin Putra Omar, D.Surendran (Mohd Amirulhadi Zainal), Elie Aiboy, Mohd Safee Mohd Sali, Frank Seator, Indra Putra Mahayuddin (Mohd Fadzli Saari).

KEDAH: Mohd Hilmi Eliza Elias, Victor Andrag (Mohd Fazliata Taib), Cornelius Benard Huggins, Badrol Bakhtiar, Nelson San Martin (Mat Sabri Abu), V.Thirumurugan, Ahmad Fauzi Saari, Shafizan Hashim, Mohd Khyrill Muhymeen, Mohd Fadly Baharom, Marlon Alex James.

Pengadil: Rosdi Shaharul (Perak) — BERNAMA
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0823&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_18.htm#ixzz4zv8mFTlo

© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 26 November 2017

Bola sepak: Kedah dapat pingat gangsa

ARKIB : 08/06/2008
KUALA TERENGGANU - Naib juara bola sepak Sukan Malaysia (Sukma) dua tahun lalu, Kedah meraih pingat gangsa selepas menewaskan Pulau Pinang 3-0 pada perlawanan penentuan tempat ketiga di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, semalam.

Bagi jurulatih Kedah, Muhammad Ramlee, kemenangan tersebut mengubat kehampaan selepas kandas sasaran ke final kejohanan kali ini di separuh akhir apabila tunduk 3-0 kepada penyandang juara, Terengganu.

Menurut Muhammad, tempat gangsa itu sekurang-kurangnya Kedah tidak pulang tangan kosong.

''Memang kita hampa sebab gagal ke perlawanan akhir dan ia masih dirasakan sehingga kini oleh para pemain.

''Sebagai menebus kehampaan, kami tidak mahu terus kecewa di perlawanan penentuan tempat ketiga hari ini.

''Dengan kejayaan ini ia sekurang-kurangnya meletakan nama kami dalam senarai kedudukan pingat," katanya ketika ditemui.

Pada perlawanan semalam, Kedah di depan seawal minit pertama menerusi jaringan pemain kebangsaan, Baddrol Bakhtiar, disusuli ketua pasukan, Md. Hazwan Zainun minit kelapan dan minit ke-25 oleh Mohd. Faiz Subri.

Perlawanan akhir bola sepak Sukma XII akan menemukan penyandang juara, Terengganu dan Perlis di Stadium Sultan Zainal Abidin, Gong Badak 8.45 malam ini.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0608&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4za9hhu61

© Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 22 November 2017

Sultan Ahmad Shah kagum - Latihan dua pemain negara di Chelsea



ARKIB : 20/04/2008

KUALA LUMPUR – Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah tertarik dan kagum dengan program latihan disediakan kelab Liga Perdana England, Chelsea buat dua pemain bola sepak Malaysia yang sedang menjalani latihan dengan pasukan itu.

Kedua-duanya, Bunyamin Umar dan Baddrol Bakhtiar kini menjalani program latihan dua minggu dengan pasukan remaja kelab itu di bawah pengelolaan jurulatih, Brendan Rodgers.

Menurut laman web rasmi FAM, Sultan Ahmad Shah mengetuai delegasi empat pegawai FAM melawat kemudahan dan padang latihan milik Chelsea di Cobham itu, Khamis lalu.

‘‘Menjadi harapan menggunung kita agar Chelsea terus menerima pemain kita (Malaysia) secara ditumpangkan. Kami menghargai kesediaan Chelsea berkongsi pengetahuan mereka dalam acara sukan ini,” titah Sultan Ahmad Shah.

Menurut Sultan Ahmad Shah, FAM turut berbesar hati menerima kunjungan Chelsea ke Kuala Lumpur pada 29 Julai ini.

Sultan Ahmad Shah dan rombongan diberikan taklimat berhubung projek itu yang direka bagi menyatukan semua aktiviti di Chelsea dengan corak latihan `ala kampus’ termasuk menyediakan persekitaran baik bagi pemain yang berpotensi.

Delegasi Malaysia kemudiannya dibawa menghadiri majlis makan tengah hari dan antara tetamunya ialah jaguh Ivory Coast, Didier Drogba serta bintang Jerman, Michael Ballack.

– Bernama

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0420&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4z9B0BpgU
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 18 November 2017

Tugas Bunyamin, Baddrol demi negara – FAM


ARKIB : 05/04/2008
PETALING JAYA – Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Lt. Jen. (B) Datuk Azzuddin Ahmad menggesa jurulatih pasukan dua pemain yang dihantar berlatih dengan Chelsea, Bunyamin Umar dan Baddrol Bakhtiar melepaskan mereka dengan rela hati demi tugasan kepada negara.

Katanya, penempatan mereka selama dua minggu di kelab Liga Perdana England itu merupakan peluang keemasan yang sukar diperoleh dan wajar diutamakan biar pun FAM memahami keadaan genting yang dihadapi Kedah khususnya dalam mempertahankan gelaran Liga Super dan Piala FA ketika ini.

“Kami menghargai kerelaan (jurulatih Baddrol di Kedah, Azraai Khor Abdullah dan Bunyamin di UPB-MyTeam, Bojan Hodak) melepaskan mereka. Walaupun sesi ini berupa latihan singkat dan bukannya ujian pemilihan, dua pemain ini diharap dapat kembali memanfaatkannya untuk menyumbangkan peningkatan bola sepak negara.

“Mereka akan berada di Stamford Bridge untuk berlatih di Akademi Chelsea bersama pasukan simpanan atau belia kelabnya dari 6 hingga 21 April ini,” katanya pada sidang akhbar mengenai penghantaran mereka dengan kerjasama Majlis Sukan Negara dan penganjur Piala Juara-Juara Belia (CYC) di Wisma FAM, semalam.

Pemergian mereka di bawah penajaan MSN dan hasil daya usaha penganjur CYC, Gifted Group Ltd. merupakan yang kedua selepas Khairul Fahmi Che Mat (Harimau Muda) dan Asraruddin Putra Omar (Selangor) ke PSV Eindhoven.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0405&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4yrTYkR00
© Utusan Melayu (M) Bhd

Azraai puas hati prestasi pemain muda



ARKIB : 04/04/2008
KUALA LUMPUR – Jurulatih bola sepak Kedah, Mohd. Azraai Khor Abdullah berpuas hati dengan prestasi pemain mudanya selepas menang 3-1 pada perlawanan Piala AFC ke atas pasukan South China dari Hong Kong walaupun mereka kini dihantui masalah kecederaan, lapor FERZALFIE FAUZI.

Azraai berkata, walaupun beberapa pemain utama pasukannya sedang berhadapan dengan masalah kecederaan namun rata-rata pemain muda yang diturunkan dalam pertemuan di tempat lawan itu berjaya menunjukkan satu permainan yang hebat

“Pemain muda yang saya turunkan ini masih lagi dalam proses pembelajaran tetapi mereka sudah menunjukkan peningkatan permainan dari semasa ke semasa dan dalam perlawanan tersebut mereka sudah berjaya buktikan tahap permainan mereka,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Jelasnya, pemain muda seperti Baddrol Bakhtiar, Mohd. Sabre Mat Abu, Mohd. Fadly Baharum dan Mohd. Nizam Mansor menunjukkan permainan yang tidak menghampakan dan jelas semalam merupakan satu persembahan permainan yang menarik.

“Ketiadaan Hasmawi Hassan, Victor Andrag, Ahmad Fauzi Shaari yang cedera sedikit pun tidak menjejaskan corak permainan Kedah yang dapat menyerap tekanan beraksi di Stadium Mongkok, Hong Kong.

“Malah, walaupun Mohd. Khyril Muhymeen Zambri yang dibawa ke Hong Kong tidak diturunkan, namun ternyata pemain muda mampu menggalas cabaran bagi mengutip tiga mata berharga di tempat lawan,’’ kata Azraai.

Ujar Azraai, masalah kecederaan pemain sudah menghantui Kedah sejak dari perlawanan Liga Super ketika bertemu DPMM Brunei lagi terutamanya selepas kehilangan pemain penyerang, Mohd. Syafiq Jamal yang rebah selepas dirempuh dengan kasar.

“Setakat ini keadaan Syafiq tidak begitu membimbangkan dan selepas menerima rawatan di hospital, doktor menasihatkannya untuk berehat selama dua bulan selepas mengalami gegaran otak dalam perlawanan tersebut,’’ katanya.

Kedah sekarang ini mengumpul enam mata dalam kejohanan Piala AFC dengan berada di tangga kedua di bawah pasukan Home United dari Singapura bagi kumpulan D.

Selepas ini mereka akan menerima kunjungan South China di Stadium Darul Aman untuk pusingan kedua kejohanan tersebut.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0404&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4yrJo8lsG
© Utusan Melayu (M) Bhd

Bunyamin, Baddrol ke Chelsea


ARKIB : 04/04/2008

KUALA LUMPUR – Dua pemain bola sepak kebangsaan yang berasal dari Kedah, Baddrol Bakhtiar dan Bunyamin Umar diberi penghormatan untuk mengembangkan bakat mereka ke Chelsea bagi menjalani latihan dari 6 hingga 21 April ini, lapor FERZALFIE FAUZI.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia, Lt. Jen. (B) Datuk Azzuddin Ahmad berkata, kedua-dua pemain muda itu sepatutnya berlepas ke Chelsea tahun lalu tetapi atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, pemergian mereka ke kelab itu dilakukan tahun ini.

“Disebabkan jadual liga tempatan yang ketat, kedua-dua pemain itu terpaksa menunggu sehingga tahun ini untuk menimba ilmu bola sepak di sana. Apabila mendapat pengesahan dari kelab Chelsea barulah kedua-dua pemain itu diberi lampu hijau dan diatur oleh promoter Kejohanan Piala Juara-Juara Belia (CYC), Gifted Group.

“Pemilihan kedua-dua pemain itu juga berdasarkan prestasi hebat mereka dalam CYC, di mana kedua-dua pemain itu menepati hasrat sebagai pemain yang paling layak,” kata Azzuddin ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Tambah beliau, mutu permainan kedua-dua pemain itu bukan sahaja hebat setakat kejohanan tersebut tetapi berterusan sehingga hari ini malah semakin meningkat dalam setiap perlawanan.

Bunyamin, 20, dari Sik, Kedah sekarang beraksi dengan UPB-MyTeam dan pernah membantu Kedah menjuarai tiga kejohanan piala musim lalu, manakala Baddrol, 20, masih lagi bermain dengan pasukan Kedah.

Kedua-dua pemain itu menunjukkan prestasi cemerlang dalam kejohanan CYC dengan Bunyamin menjadi tonggak penting di bahagian tengah sementara Baddrol pula menjadi penyerang utama skuad pimpinan Roberts Alberts itu.

Sementara itu, jurulatih bola sepak Kedah, Mohd. Azraai Khor Abdullah berkata, dia amat menyokong penuh pemilihan kedua-dua pemain itu yang pernah berada di bawah bimbingannya.

“Walaupun pemilihan dia (Baddrol Bakhtiar) sedikit mengganggu percaturan saya untuk menamatkan kempen Liga Super dan Piala FA tetapi saya amat mengalu-alukannya termasuk Bunyamin, yang membantu Kedah memenangi tiga kejohanan piala musim lepas,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Jelasnya, ia satu perkembangan yang positif terutamanya kepada pemain, khususnya kepada mereka yang berasal dari Kedah sendiri.

“Tidak keterlaluan saya katakan ia adalah satu penghormatan kepada rakyat negeri Kedah dan saya berharap akan lebih ramai lagi pemain Kedah mengikut jejak langkah mereka dipilih bermain dan berlatih di Eropah,’’ kata Azraai.

Kejohanan edisi kedua CYC akan bermula 12 Ogos ini dengan 16 pasukan dari kelab ternama benua Eropah dan Amerika Selatan akan mengambil bahagian.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0404&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4yrC861zx
© Utusan Melayu (M) Bhd

Piala AFC: Kedah, Perak menang



ARKIB : 03/04/2008

KUALA LUMPUR – Dua wakil Malaysia, Kedah dan Perak menghidupkan peluang untuk melayakkan diri ke pusingan kedua kalah mati selepas menewaskan lawan masing- masing di peringkat kumpulan Piala AFC, semalam, lapor KAMARUDDIN ISMAIL.

Kedah yang beraksi di tempat lawan iaitu di Stadium Mongkok, Hong Kong menewaskan wakil tuan rumah, kelab South China 3-1 dalam saingan Kumpulan D

Badrul Bakhtiar membuka tirai jaringan buat pasukan pelawat pada minit ke-31 selepas menyambut hantaran lintang Marlon Alex James dalam kotak penalti untuk menolak bola masuk dari jarak dekat.

Bagaimanapun South China bangkit menyamakan kedudukan menerusi tandukan Cristiano Alves Pereira pada minit ke-59 yang berpunca daripada sepakan sudut.

Tetapi Kedah hanya memerlukan enam minit selepas itu untuk kembali di depan menerusi Marlon yang menyambut hantaran Nelson San Martin.

Pemain gantian, Saramsak Kram menambah derita South China dengan gol ketiga pada minit ke-85 juga selepas menampan mudah dari jarak dekat.

Kemenangan itu membolehkan Kedah menghuni tangga kedua Kumpulan D di belakang wakil Singapura, Home United dengan enam mata daripada tiga perlawanan.

Sementara itu, Perak yang beraksi di tempat sendiri di Stadium Perak pula menewaskan satu lagi kelab Hong Kong, Kitchee FC 2-1 dalam saingan Kumpulan E.

Pemain import Perak, Mario Barios muncul wira dengan menjaringkan gol kemenangan pada minit-minit akhir permainan selepas kedudukan terikat 1-1.

Mario bijak mencuri ruang daripada keadaan kelam kabut di depan pintu gol Kitchee FC untuk memberi tiga mata bermakna buat Perak.

Sebelum itu, Perak lebih dulu mendahului menerusi jaringan cantik dari jarak 35 meter yang dilakukan Hardi Jaafar pada minit ke-11.

Pasukan pelawat kemudiannya berjaya menyamakan kedudukan menerusi Goran Stankovski pada minit ke-73.

Seperti Kedah, kemenangan itu membolehkan Perak melonjak ke tangga kedua di belakang Angkatan Tentera Singapura dengan enam mata daripada tiga perlawanan.

Kedua-dua wakil Singapura turut mencatat kemenangan semalam untuk muncul sebagai pendahulu dengan sembilan mata.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0403&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4yr9ZHLMX© Utusan Melayu (M) Bhd