Mohamad
Firdaus Abdullah
18 Mei 2019
10:44 AM
Baddrol (kiri)
yakin Kedah akan bangkit daripada kekalahan kepada Selangor Rabu lalu dengan
mencatat kemenangan ke atas Melaka United malam ini.
KETUA pasukan
Kedah, Baddrol Bakhtiar yakin skuad Helang Merah itu akan mempamer kebangkitan
apabila turun berdepan Melaka United bagi aksi Liga Super di Stadium Darul
Aman, Alor Setar malam ini.
Kedah tewas
1-3 kepada Selangor pada aksi di Stadium Shah Alam pada Rabu lalu, sekali gus
menyebabkan mereka semakin jauh mengejar kedudukan pendahulu Liga Super, Johor
Darul Ta’zim.
Meskipun
mengakui kalah dan menang adalah sesuatu yang lumrah dalam bola sepak, Baddrol
bagaimanapun mahu rakan sepasukannya melupakan kekecewaan tersebut serta
memberi fokus sepenuhnya pada pertemuan dengan skuad Sang Kancil itu yang akan
tampil dengan motivasi tinggi setelah menang besar 6-0 ke atas Felda United
dalam aksi sebelumnya.
“Kalah dan
menang adalah lumrah bola sepak, jika kita leka kita akan dihukum. Apa yang
penting ialah kami telah berusaha untuk bangkit semula pada separuh masa kedua
di Shah Alam, cuma yang menghalang kami mencuri mata di sana ialah palang dan
tiang sahaja.
“Jadi, untuk
aksi kali ini di laman sendiri, saya mahu rakan sepasukan melupakan kekalahan
lalu dan memberikan tumpuan sepenuhnya berdepan Melaka United,” jelas Baddrol.
Pada masa
sama, pengendalinya, Aidil Sharin Sahak turut meluahkan keyakinan bahawa para
pemainnya akan menebus kekecewaan tersebut dengan menjadikan Melaka United
sebagai mangsa.
“Saya tetap
yakin pemain kami akan bangkit meraih tiga mata. Kesungguhan mereka untuk
melakukan kebangkitan amat ketara pada babak kedua di Shah Alam sebelum ini dan
mereka pasti akan melakukannya sekali lagi malam esok (malam ini).
“Bukan sesuatu
yang mudah apabila berdepan Melaka United, namun saya percaya dengan kemampuan
pemain pasukan ini,” tegasnya.
Kedah kini
turun di tangga keempat liga dengan mengumpul 19 mata hasil lima kemenangan,
empat seri dan empat kekalahan manakala Melaka United di tangga kelima apabila
berkongsi mata yang sama dengan mereka.
Sumber-KOSMO
ONLINE 18 Mei 2019 10:44 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan