Muhd. Ardie Putra Suhaimi
02 Mei 2019 9:16 AM
JONATHAN Bauman (tengah)
menjaringkan dua gol ketika Kedah mencatat kemenangan selesa 3-1 menewaskan
PKNS FC pada aksi suku akhir pertama Piala FA kelmarin.
KAPTEN Kedah, Baddrol Bakhtiar
optimis pasukannya berpotensi untuk melangkah ke final Piala FA musim ini
selepas merekodkan kemenangan selesa 3-1 ke atas kelab Perbadanan Kemajuan
Negeri Selangor (PKNS FC) dalam aksi suku akhir pertama di Stadium Shah Alam
kelmarin.
Pada perlawanan tersebut, skuad
Helang Merah memanfaatkan sepenuhnya kelebihan selepas pertahanan pasukan tuan
rumah, Tamirlan Kozubaev dilayangkan kad merah untuk mendahului 3-0 di separuh
masa yang pertama.
Skuad kendalian Datuk K.
Rajagobal itu berusaha untuk bangkit pada babak kedua dan berjaya meraih gol
saguhati hasil ledakan Gabriel Guerra dan keputusan 3-1 kekal sehingga tamat
perlawanan.
Baddrol berkata, kemenangan
tersebut mencerahkan peluang mereka untuk mara ke pusingan separuh akhir
tetapi ada masa yang sama mengingatkan supaya tidak memandang rendah dengan
keupayaan skuad The Red Ants memandangkan saingan masih berbaki 90 minit.
“Kami sangat gembira apabila
dapat mencatatkan kemenangan positif di gelanggang lawan untuk membawa bekalan
selesa pada perlawanan suku akhir kedua di Stadium Darul Aman minggu depan.
“Peluang untuk mara ke pusingan
seterusnya agak cerah tetapi ia tidak bermakna kami boleh bermain sambil lewa
kerana PKNS FC telah buktikan pada babak kedua bahawa mereka tetap boleh
bersaing meskipun bermain dengan 10 pemain.
“Apa yang pasti, kami meletakkan
sasaran untuk mara ke final dan saya percaya ia boleh dicapai kerana pasukan
musim ini dilihat sudah selesa dan yakin di bawah kendalian jurulatih baharu
(Aidil Sharin Sahak),” katanya.
Baddrol sebelum ini pernah
membantu skuad Helang Merah menjulang trofi Piala FA sebanyak tiga kali pada
edisi 2007, 2008 dan 2017.
SUMBER-KOSMO ONLINE 02 Mei 2019
9:16 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan