BERNAMA | | 3 November 2019

Baddrol (kanan) tetap positif
skuad Lang Merah akan bangkit semula musim hadapan selepas menamatkan saingan
musim ini dengan kekalahan 0-3 kepada JDT pada final Piala Malaysia 2019
semalam. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR - Ketua pasukan
Kedah, Baddrol Bakhtiar tetap positif dan optimis skuad Lang Merah akan bangkit
semula musim hadapan selepas menamatkan saingan musim ini dengan kekalahan 0-3
kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada final Piala Malaysia 2019 semalam.
Di bawah bimbingan Ketua
Jurulatih, Aidil Sharin Sahak, Baddrol percaya pembaharuan yang disuntik
jurulatih kelahiran Singapura berusia 42 tahun itu akan menjadikan Kedah
sebagai salah satu pasukan terbaik dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M).
Aidil Sharin berjaya membawa
Kedah menjuarai Piala FA 2019 dan menamatkan saingan Liga Super di tempat
keempat dalam tempoh kurang setahun sejak dilantik sebagai pengendali pasukan
pada Oktober 2018.
“Sebagai pemain profesional, kita
(pemain) kena fokus lagi untuk ke depan dan terus melihat dengan positif serta
berusaha lebih keras.
“Tahun depan masih ada
lagi...insya-ALLAH, Kedah akan jadi pasukan yang terbaik sebab kami baru 10
bulan membentuk pasukan,” katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan.
Kedah yang mara ke final Piala
Malaysia buat kali keempat dalam tempoh lima tahun musim ini mempamerkan
semangat juang tinggi dalam perjalanan ke pentas akhir termasuk kejayaan
menyingkirkan Pahang menerusi keputusan agregat 8-8 di separuh akhir.
Bagaimanapun ketiadaan dua
tonggak yang digantung perlawanan selain penyerang Fernando Rodriguez yang
mengalami kecederaan, memberi impak kepada mutu persembahan pasukan sekali gus
menyaksikan JDT mendominasi 90 minit perlawanan.
“Memang kami rasai ketiadaan
Renan (Renan Alves), Mohd Rizal (Mohd Rizal Mohd Ghazali) dan Fernando di saat
akhir, tetapi itu lah bola sepak. Malam ini bukan rezeki kami dan kami masih
positif insya-ALLAH mungkin kami akan sekali lagi ke Bukit Jalil (musim
depan),” kata Baddrol.
Kekalahan Kedah menyaksikan
pasukan utara tanah air itu mencatat kekalahan kedua kepada JDT di pentas final
Piala Malaysia selepas tewas 0-2 pada edisi 2017 di Stadium Shah Alam malam
tadi. - Bernama
SUMBERArtikel Penuh :
https://www.sinarharian.com.my/article/55384/BERITA/Sukan/Baddrol-optimis-Kedah-bangkit-jadi-pasukan-terbaik-musim-depan
© 2018 Hakcipta Terpelihara
Kumpulan Karangkraf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan