Sabtu, 16 November 2019

Saingan Liga Perdana kembali terbuka


Sukan
Jumaat, 14 Ogos 2015 | 11:50pm
 
Saingan Liga Perdana kembali terbuka
PEMAIN bolasepak Negeri Sembilan, G Puaneswaran cuba menghalang Ketua Pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar pada perlawanan Negeri Sembilan menentang Kedah yang di adakan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Persaingan kejuaraan Liga Perdana 2015 kembali terbuka selepas pendahulu liga, Kedah kalah 0-2 kepada Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam ini.

Keputusan tersebut bagaimanapun tidak menggugat kedudukan Kedah yang masih mendahului liga dengan pungutan 42 mata selepas 20 perlawanan tetapi hanya dibezakan dengan tiga mata daripada pasukan tempat kedua dan ketiga.

Pada aksi di Paroi itu, Negeri Sembilan yang dikenali sebagai NS Matrix musim ini meraih jaringan menerusi Francis Forkey Doe pada minit ke-72 dan pemain gantian, N. Thanabalan tujuh minit sebelum permainan tamat.

Pulau Pinang pula memintas T-Team di kedudukan kedua liga selepas membenam Sabah 4-0 di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.

Walaupun berkongsi 39 mata bersama T-Team, Pulau Pinang berada pada tangga kedua carta Liga Perdana berdasarkan perbezaan jaringan.

Empat gol skuad Harimau Kumbang dijaringkan Elias Sulaiman pada minit ke-41, Mohd Azinee Taib (minit ke-48 dan 73) dan Mohd Faiz Subri pada minit ke-61.

Di Stadium UiTM, Shah Alam, pasukan UiTM FC berjaya mengikat T-Team dengan keputusan 2-2.

Dua gol skuad 'The Lion Troops' dijaringkan oleh kapten pasukan, Dao Bakary pada minit ke-41 dan Aiman Syazwan 11 minit selepas itu manakala pemain import dari Uzbekistan, Sadriddin Abdullaev meledak dua gol untuk T-Team pada minit ke-34 dan ke-54.

Pasukan kelab, PKNS FC pula kekal di tangga keempat liga walaupun seri 1-1 menentang DRB Hicom FC di Stadium Proton, Tanjung Malim, Perak.

Dalam pada itu, pasukan Johor Darul Ta'zim II (JDT II) kembali meraih kemenangan selepas menang tipis 2-1 ke atas Kuala Lumpur di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor Baharu.

Pemain import dari Korea Selatan, Choi Hyun Yeon mengejutkan pasukan tuan rumah menerusi jaringan pembukaan pada minit ke-33 sebelum JDT II bangkit meledak dua gol menerusi Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak tujuh minit selepas babak kedua bermula diikuti Mohd Akmal Ishak pada minit ke-69.

Esok berlangsung perlawanan tunggal Liga Perdana melibatkan dua pasukan tercorot liga iaitu SPA Putrajaya FC dan Kuantan FA di Stadium UiTM, Shah Alam. – BERNAMA.[1]



[1]https://www.bharian.com.my/node/49790          

Tiada ulasan:

Catat Ulasan