Oleh AHMAD SYAHIR KASSIM
syahir.kassim@kosmo.com.my
BARISAN pemain Kedah sudah bersedia mengibar cabaran
pada kempen Liga M musim ini.
DENGAN dibarisi tujuh pemain kebangsaan, Kedah
melaungkan amaran untuk mengulangi kejayaan menjuarai gelaran treble pada musim
2007 dan 2008 apabila tirai Liga Malaysia 2011 bermula hujung bulan ini.
Justeru, Kedah tidak mahu menoleh ke belakang lagi,
sebaliknya mereka tampak lebih yakin dengan pengalaman yang dimiliki
ketujuh-tujuh pemain berkenaan.
Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA),
Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah memberitahu, skuad Hijau Kuning
mensasarkan yang terbaik untuk musim ini dengan menjuarai tiga piala.
“Sasaran Kedah bagi musim ini ialah tiga piala.
Barisan pemain muda dan berpengalaman yang pernah beraksi bersama pasukan
negara, Kedah mampu lakukannya,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis
pelancaran laman web KFA, jersi baru Kedah dan pengumuman pemain baru di Alor
Setar kelmarin.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan,
Kesenian, Warisan dan Kebudayaan negeri, Dr. Hamdan Mohamed Khalib, pengurus
pasukan, Datuk Khazali Din dan ketua jurulatih, Ahmad Yusof.
Skuad Hijau Kuning ketika di bawah pengendali Mohd.
Azraai Khor Abdullah muncul juara treble menerusi kejayaan merangkul Piala
Malaysia, Liga Super dan Piala FA.
Ahmad yang membimbing Kedah bagi musim kedua
menganggap sasaran KFA untuk merangkul tiga piala itu sebagai cabaran yang perlu
dipikul bersama oleh pihak pengurusan pasukan dan juga para pemain.
Katanya, jika percaturan berjalan lancar dan kemasukan
pemain baru termasuk Amar Rohidan dan pemain berpengalaman, Ahmad Fauzi Shaari
serta beberapa pemain lain, sasaran itu boleh dicapai.
Jelasnya, kecederaan beberapa tonggak utama Kedah pada
musim lalu banyak menjejaskan rentak Kedah khususnya di posisi tengah.
“Sasaran tiga piala adalah cabaran bagi saya dan
pemain. Diharapkan gandingan pemain kebangsaan dan pemain muda serta perancangan
berjalan dengan baik ia mampu dicapai,” katanya.
Selain Amar Rohidan empat lagi pemain yang membawa
Malaysia muncul juara Piala Suzuki AFF 2010 baru-baru ini ialah Mohd. Sabree
Mat Abu, Mohd. Khyril Muhymeen Zambri, Mohd. Faizal Abu Bakar dan Khairul Helmi
Johari.
Turut berada dalam skuad kebangsaan, namun digugurkan
akibat kecederaan ialah Baddrol Bakhtiar dan Mohd. Azmi Muslim.
Bagi musim ini, bekas pemain Kedah yang berkelana ke
Perlis, Mohd. Fauzie Nan kembali menyarung jersi skuad Hijau Kuning selain
bekas pemain Terengganu kelahiran Kedah, Mohd. Firdaus M. Faudzi.
Pemain lama yang dikekalkan ialah Mohd. Helmi Eliza,
Abdul Hadi Abd. Hamid, Mohd. Al-Hafiz Hamzah, Mohd. Shahril Faizal dan Shafizan
Hashim.
Turut dikekalkan ialah Mohd. Fazliata Taib, V.
Thirumurugan, Ahmad Shakir Md. Ali dan Azlan Ismail.
ARKIB BERITA pada:08/01/2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan