WARTAWAN SINAR HARIAN | | 3
November 2019

KAPTEN Kedah, Baddrol Bakhtiar
mengakui bahawa ketiadaan dua tonggak yang digantung perlawanan memberi impak
kepada mutu persembahan Lang Merah ketika tewas 0-3 kepada Johor Darul Ta’zim
(JDT) pada final Piala Malaysia malam tadi.
Menurutnya, pada masa sama
kecederaan yang dihadapi penyerang Fernando Rodriguez juga menyaksikan juara
Liga Super berkenaan mendominasi 90 minit perlawanan.
“Memang kami rasai ketiadaan
Renan (Renan Alves), Mohd Rizal (Mohd Rizal Mohd Ghazali) dan Fernando di saat
akhir, tetapi itu lah bola sepak.
"Malam ini bukan rezeki kami
dan kami masih positif insya-ALLAH mungkin kami akan sekali lagi ke Bukit Jalil
(musim depan),” jelas Baddrol.
Di bawah bimbingan ketua
jurulatih Aidil Sharin Sahak, Baddrol percaya pembaharuan yang disuntik
jurulatih kelahiran Singapura berusia 42 tahun itu, akan menjadikan Kedah
sebagai antara pasukan terbaik dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M).
Aidil Sharin berjaya membawa
Kedah menjuarai Piala FA dan menamatkan saingan Liga Super di tempat keempat dalam
tempoh kurang setahun sejak dilantik pengendali pasukan pada Oktober 2018.
“Sebagai pemain profesional, kita
(pemain) kena fokus lagi untuk ke depan dan terus melihat dengan positif serta
berusaha lebih keras.
“Tahun depan masih ada
lagi...Insya-ALLAH, Kedah akan jadi pasukan yang terbaik sebab kami baru 10
bulan membentuk pasukan,” katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan.
Kedah yang mara ke final Piala
Malaysia buat kali keempat dalam tempoh lima tahun, musim ini mempamerkan
semangat juang tinggi dalam perjalanan ke pentas akhir, termasuk kejayaan
menyingkirkan Pahang menerusi keputusan agregat 8-8 di separuh akhir.
Kekalahan Kedah menyaksikan
pasukan utara tanah air itu mencatat kekalahan kedua kepada JDT di pentas final
Piala Malaysia selepas tewas 0-2 pada edisi 2017 di Stadium Shah Alam.
SUMBERArtikel Penuh :
https://www.sinarharian.com.my/article/55396/BERITA/Sukan/Ketiadaan-tiga-tonggak-jejas-persembahan-Kedah
© 2018 Hakcipta Terpelihara
Kumpulan Karangkraf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan