MUHAMMAD ZAKWAN NAZARALY | | 31 Oktober 2019

Afiq Fazail
LIMA muka baharu yang dipanggil menyertai kem latihan
pusat skuad Harimau Malaya bagi menghadapi kempen Kelayakan Piala Dunia
2022/Piala Asia 2023 bulan depan dipilih berdasarkan prestasi semasa para
pemain tersebut.
Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menjelaskan, dua
pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) - Afiq Fazail dan Syazwan Andik Ishak serta
tiga pemain Kedah - Baddrol Bakhtiar, Farhan Roslan dan penjaga gol, Ifwat
Akmal Chek Kassim beraksi baik bersama pasukan masing-masing sehingga berjaya
memikatnya untuk berada dalam senarai 26 pemain.
“Saya harap prestasi yang ditonjolkan oleh kesemua pemain
tersebut bersama pasukan negeri masing-masing dapat dibawa dan diterjemahkan
dalam pasukan kebangsaan pula.
“Seperti Baddrol, dia mempunyai pengalaman yang banyak
pernah mewakili skuad negara manakala Afiq menunjukkan prestasi cemerlang
ketika bermain bersama JDT dalam beberapa perlawanan,” katanya kepada Sinar
Harian.
Terdahulu, FAM mengeluarkan senarai 26 pemain untuk
menyertai kem latihan pusat yang akan bermula Ahad ini. Dalam kenyataan itu,
Cheng Hoe turut memanggil kembali perancang Pahang, Nor Azam Abdul Azih dan
penyerang Perak, Shahrel Fikri Md Fauzi yang sebelum ini tercicir daripada
senarai akhir 23 pemain ketika menentang Vietnam di Hanoi akibat kecederaan.
“Kehadiran semula beberapa pemain terbabit termasuk Afiq
dan Baddrol yang baru dipanggil akan memberikan lebih banyak pilihan pemain
kepada saya untuk diturunkan dalam tiga perlawanan akan datang,” ujarnya.
Pada masa sama, Cheng Hoe membuat keputusan menggugurkan
pemain tengah, Akram Mahinan (PKNS FC), Abdul Halim Saari (Selangor); penjaga
gol, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy (Perak) dan pemain pertahanan Kuala
Lumpur, Irfan Zakaria daripada senarai 26 pemain tersebut.
Enam pemain pula diletakkan dalam senarai bersedia jika
ada mana-mana dalam kalangan 26 pemain tersebut disahkan mengalami kecederaan
iaitu Irfan dan Akram serta penjaga gol, Haziq Nadzli (JDT), Rizal Ghazali
(Kedah), J Partiban (Perak) dan Jafri Firdaus Chew (PKNS FC).
Harimau Malaya akan menentang Tajikistan dalam perlawanan
persahabatan pada 9 November sebelum dijadualkan mengharungi dua aksi Kumpulan
G Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Thailand
(14 November) dan Indonesia (19 November) di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
SUMBER-Artikel Penuh :
https://www.sinarharian.com.my/article/54817/BERITA/Sukan/Prestasi-semasa-Afiq-Baddrol-ditagih-bantu-Harimau-Malaya-Cheng-Hoe
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf