Rabu, 16 Oktober 2019

Bad paling layak


MyMetroArena
 
Rodly Fadly
sukanteam@nstp.com.my
KHAIRUL Helmi Johari mencadangkan pemain tengah Harimau Malaya, Baddrol Bakhtiar sebagai calon paling layak mengetuai Kedah selepas dia mengambil keputusan melepaskan jawatan kapten pasukan itu, baru-baru ini.

Katanya, selain seorang pemain senior dan berpengalaman termasuk bersama pasukan kebangsaan, Baddrol mempunyai daya kepemimpinan tinggi serta dihormati di kalangan pemain.

“Saya tidak nampak calon lain yang lebih layak daripada Bad (Baddrol) kerana berdasarkan senioriti’`, dia sudah pun bersama pasukan Kedah sejak tahun 2005 lagi.

“Dia turut memiliki pengalaman luas di peringkat antarabangsa bersama pasukan kebangsaan termasuk pernah mengetuai skuad negara menjuarai Sukan SEA pada 2011.

“Malah, sebagai pemain senior Bad juga sangat dihormati serta disenangi oleh setiap pemain Kedah di samping memiliki sifat kepemimpinan.

“Saya sudah mencadangkan nama Bad kepada jurulatih, Ramon Marcote apabila berbincang mengenai hal itu baru-baru ini. Terserah kepada beliau (Marcote) untuk membuat keputusan,” kata pemain yang lebih mesra dengan panggilan Keon itu.

Mengenai keputusannya melepaskan tugas kapten, Khairul yang memakai lilitan lengan sejak musim 2014 menjelaskan, tiada tekanan dia berbuat begitu sebaliknya ia bertujuan memberi peluang kepada pemain lebih muda memimpin pasukan.

“Cukuplah empat musim saya memimpin pasukan ini dengan kejayaan menjuarai Liga Perdana, Piala Malaysia, Piala FA dan Piala Sumbangsih. Cuma impian saya untuk menjulang Liga Super tidak tercapai.

“Saya yakin pemain yang bakal memikul tanggungjawab itu mampu melonjakkan lagi prestasi pasukan Kedah ke tahap paling tinggi.

“Sebagai pemain, saya akan terus memberi sokongan dan komitmen 100 peratus selagi kudrat diperlukan di tengah padang kerana buat masa ini saya belum terfikir untuk bersara,” kata Keon.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2017 @ 11:13 AM


Tiada ulasan:

Catat Ulasan