Rabu, 16 Oktober 2019

Bergilir galas tugas


MyMetroArena
 
Izzali Ismail
sukanteam@nstp.com.my
Alor Setar: Tugas ketua pasukan Kedah kini dipikul Khairul Helmi Johari dan Baddrol Bakhtiar secara bergilir-gilir.

Menurut ketua jurulatih Kedah, Ramon Marcote, sistem penggiliran membabitkan dua pemain senior itu sesuai dengan pengalaman luas mereka selaku tonggak Lang Merah.

“Kedua-dua pemain senior ini sememangnya mempunyai aura tersendiri dan mampu menerajui pasukan dengan baik dalam semua aspek memandangkan pengalaman luas mereka di peringkat liga tempatan dan luar negara sewaktu bersama skuad kebangsaan.

“Dengan kemampuan yang ada pada mereka, saya yakin ia akan memberi impak yang terbaik untuk pasukan,” katanya.

Menyentuh mengenai persiapan perlawanan skuad Lang Merah seterusnya, Marcote berkata, beliau yakin dengan kemenangan sulung 1-0 yang dilakar ke atas PKNP FC di Stadium Negeri Pulau Pinang, Ahad lalu akan melonjakkan keyakinan pasukan.

“Kemenangan pertama yang diperoleh Ahad lalu akan membakar lagi semangat kental kami untuk meneruskan rentak kemenangan.

“Kehadiran pemain baru kuota Asean dari Indonesia, Andik Vermansyah juga memberi suntikan semangat tambahan untuk semua pemain dan penyokong Kedah yang sememangnya mengharapkan kebangkitan selepas gagal mencatat mata dalam dua perlawanan awal.

“Walaupun kemenangan tipis tetapi ia cukup bermakna buat semua pemain kerana selepas ini kami perlu menggandakan usaha untuk memperbaiki kedudukan dalam Liga Super.

“Kita juga bersiap sedia sepenuhnya untuk menghadapi perlawanan pertama untuk kempen Piala FA 2018 bertemu Negeri Sembilan pada 2 Mac,” katanya.

Selepas mengharungi tiga perlawanan, Kedah kini menghuni tangga kelapan Liga Super 2018 dengan tiga mata.

Pada dua perlawanan terdahulu, Kedah tewas 1-3 kepada Perak di Stadium Darul Aman selepas kecundang 1-2 kepada Johor Darul Ta’zim pada perlawanan pertama di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Februari 2018 @ 7:59 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan