| | 20 Oktober 2019

Baddrol Bakhtiar
WALAUPUN tidak meraih sebarang kelebihan untuk bertandang
ke Kuantan, 26 Oktober ini, ketua pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar, masih boleh
tersenyum dengan penamat penuh dramatik yang mereka pamerkan pada separuh akhir
pertama Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, semalam.
Baginya, kebangkitan sebanyak dua kali yang dipamerkan
sudah cukup menggambarkan betapa tingginya semangat perjuangan pemain-pemain
Kedah sebelum mengikat Pahang 3-3 melalui jaringan penyamaan minit akhir oleh
pemain gantian, Zaquan Adha Abdul Razak.
Berdasarkan keputusan itu, Baddrol berasakan Kedah sudah
mampu memberikan satu bayangan kepada Pahang bahawa tiada laluan mudah akan
diberikan kepada skuad Tok Gajah apabila mereka bakal berentap pada separuh
akhir kedua di Stadium Darul Makmur.
“Malam ini, kami sudah berusaha sebaik mungkin sepanjang
permainan dan apa yang cukup penting, kami tidak kalah di laman sendiri selepas
tamatnya perlawanan.
“Masih ada baki 90 minit lagi bagi mencari tempat ke
pentas final dan kami berazam untuk bagi lebih baik apabila bertandang ke
tempat lawan selepas apa kami pamerkan di sini.
“Jujurnya, Pahang memang pasukan yang kuat, bagaimanapun
saya dan rakan-rakan tetap berjaya mengakhiri perlawanan terakhir di tempat
sendiri musim ini dengan aksi terpuji ditambah faktor padang juga ada rencatkan
permainan kami pada malam ini, ” katanya.
Dalam pada itu, Baddrol teruja dengan kehadiran penonton
di Stadium Darul Aman yang disifatkan luar biasa iaitu seramai 23,483 orang dan
mengharapkan situasi itu akan berterusan pada setiap perlawanan membabitkan
Kedah, musim depan.
Tambahnya, pemain Kedah cukup dahagakan sokongan sebegitu
daripada penyokong dan mereka jelas menjadi pemain ke-12 di sebalik kebangkitan
dilakar Kedah.
“Memang ini setiap pemain inginkan dengan tiap perlawanan
sentiasa dipenuhi dengan penyokong-penyokong setia, saya mengharapkan pada
musim depan nanti, ia berterusan.
“Walaupun mungkin ada nanti bukan perlawanan yang
penting, kami pemain tetap mahukan penyokong sentiasa membanjiri stadium kerana
sokongan anda amat kami perlukan, ” katanya.
SUMBERArtikel Penuh :
https://www.sinarharian.com.my/article/53100/BERITA/Sukan/Yang-penting-Kedah-tak-kalah© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan