WARTAWAN SUKAN SINAR | | 29 Oktober 2019

Pemain-pemain Kedah meraikan kejayaan mara ke pentas
final Piala Malaysia selepas menewaskan Pahang berdasarkan peraturan gol di
tempat lawan.
“SEPANJANG 14 tahun saya bermain bola sepak dengan skuad
Kedah, sampai bila-bila saya tidak akan lupakan apa yang terjadi pada
perlawanan malam ini.”
Itu pengakuan Kapten Lang Merah Kedah, Baddrol Bakhtiar
selepas kejayaan penuh dramatik skuad Lang Merah menyingkirkan Pahang untuk
layak ke final Piala Malaysia musim ini.
Bukan sahaja tiada siapa menjangkakan aksi perlawanan di
Stadium Darul Makmur bakal berkesudahan agregat 8-8, malah karakter ditunjukkan
Kedah sudah cukup menceritakan semangat juang Baddrol dan rakan-rakan.
Menurut Baddrol, dia amat berpuas hati dengan kejayaan
itu untuk menangkis pandangan betapa Kedah tiada peluang untuk mencipta kejutan
ke atas Pahang yang diletakkan sebagai pasukan pilihan mara ke pentas final.
“Pahang ialah sebuah skuad yang kuat dan mempunyai
kualiti tersendiri dan ramai orang tidak memilih kami untuk layak ke final pada
tahun ini. Tetapi malam ini kami menepis setiap kritikan itu.
“Bagaimanapun, saya tidaklah memikirkan sangat segala
kata-kata itu kerana cuba mengambilnya daripada sudut positif untuk Kedah dan
terima kasih kepada semua yang menyokong kami sejak daripada dulu,"
katanya.
Baddrol juga mengakui jaringan penyamaan ketiga yang dilakukan
pada minit ke-85 menjadi titik tolak kebangkitan Kedah selain memadamkan
sedikit api perjuangan Pahang kerana berjaya menyamai jaringan di tempat lawan
skuad Tok Gajah.
“Semasa 3-2 itu, saya sudah tekadkan dalam hati mahu
meletakkan bola ini secara 'drive' ke dalam kotak penalti dan saya harap ada
rezeki untuk kami dapatkan jaringan.
“Alhamdulillah tidak jangka bola itu masuk dan saya
berbangga dengan semangat perjuangan kami sebagai satu pasukan dan paling
penting, kami beraksi di atas satu jalinan kerjasama yang tinggi,"
katanya.
Selepas kedudukan terikat 5-5 pada 120 minit permainan,
Kedah meraikan kejayaan mara ke final menerusi peraturan jaringan di tempat
lawan.
Dalam pada itu bagi penyerang import Kedah, Jonatan
Bauman, dia menganggap 120 tempoh permainan yang diharungi itu adalah detik
yang cukup ‘gila’.
“Memang satu perlawanan yang cukup menggilakan dan tidak
pernah terfikir sehingga 5-5 kami mengakhiri permainan tetapi kami layak
mendapat tempat di final.
“Kami menunjukkan satu sikap tidak kenal erti berputus
asa ke atas Pahang walaupun mereka diiringi puluhan ribu penyokong sendiri
untuk sentiasa menyerang.
“Bagaimanapun, kami bermain mengikut taktikal diarahkan
jurulatih dan menyerang bila perlu serta tidak mensia-siakan peluang dimiliki
untuk mendapatkan jaringan," katanya.
Artikel Penuh :
https://www.sinarharian.com.my/article/54477/BERITA/Sukan/Ini-perlawanan-gila
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan