ARKIB : 24/09/2008
Oleh SHARIZA ABDULLAH
pemain kedah, Baddrol Bakhtiar
(kiri) bersaing dengan lawannya dari Muharraq, Mahmood Abdul Rahman dalam
pertemuan suku akhir kedua di Alor Star, malam tadi. Kedah tewas 1-2.
ALOR SETAR - Seperti diramal
Kedah tersingkir daripada Kejohanan Piala AFC apabila tewas 1-2 kepada kelab
Bahrain, Muharraq FC pada perlawanan suku akhir kedua di Stadium Darulaman,
semalam.
Keputusan itu menjadikan Muharraq
menang secara agregat 7-1 ke atas Kedah selepas menang besar 5-0 dalam
perlawanan pertama di Manama, Bahrain minggu lalu.
Tanpa kelibat pemain import yang
terpaksa meninggalkan saingan liga tempatan, Kedah jelas pincang di jentera
serangan.
Kelebihan selaku tuan rumah gagal
dimanfaatkan, sebaliknya pelawat selesa mendahului 2-0 dalam babak pertama menerusi
import dari Brazil, Leandson Dias Da Silva pada minit ke-29 dan 40.
Kedah bermula garang pada awal
permainan dengan melancarkan percubaan menerusi Mohd. Fadly Baharum pada minit
keenam tetapi percubaannya berjaya ditepis oleh penjaga gol Muharraq, Abdullah
Mohamed Hazza.
Selepas mengusai perlawanan pada
20 minit awal, Kedah kelihatan longlai dan menerima tamparan hebat apabila
Leandson menjaringkan gol pertama Muharraq.
Leanson menerima hantaran cantik
dari Mohamed Yusof Salmeen yang mengelecek beberapa pemain pertahanan Kedah
sebelum itu.
Pintu gol Kedah bocor buat kali
kedua kali ini menerusi sepakan penalti yang berjaya disempurnakan oleh
Leandson selepas penjaga gol Kedah, Helmi Eliza Elias menjatuhkan Mohamed
Jaafar Alzain.
Akhirnya Kedah berjaya
menjaringkan gol sagu hati pada minit ke-69 menerusi tandukan Fadly hasil
sepakan penjuru yang diambil oleh Baddrol Bakhtiar.
Selepas jaringan tersebut, Kedah
mula menguasai perlawanan tatkala pemain Muharraq keletihan, namun tiada
tambahan jaringan dapat dilakukan oleh pasukan Kenari itu.
Turut hadir menyaksikan
perlawanan itu ialah Sultan Kedah, Tunku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan
kira-kira 5,000 penyokong yang hadir memberi sokongan.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0924&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz50TJxLdJ9
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan