MyMetroArena

Izzali Ismail
sukanteam@nstp.com.my
KEDAH akan turun sebagai pasukan ‘underdog’ ketika menentang Johor Darul
Ta’zim (JDT) dalam perlawanan Piala Sultan Ahmad Shah yang juga perlawanan
pembukaan Liga Super untuk Kedah di Stadium Tan Sri Datuk Hassan Yunos, Larkin
pada 3 Februari ini.
Kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar berkata pertemuan menentang JDT di Stadium
Larkin dijangka sengit memandangkan tuan rumah sebuah pasukan juara Liga Super
yang mantap serta lengkap di setiap posisi.
“Kami akan tampil di Larkin sebagai pasukan ‘underdog’ namun tetap akan
mempertahankan Piala Sumbangsih ini.
“Kami tahu JDT akan berhabis habisan sebab mahu menebus kembali kekalahan
merebut piala ini musim lalu dan juga bangkit selepas kekalahan dengan Muangthong
United dalam aksi kelayakan ACL, baru baru ini.”
“Memang bukan mudah buat kami kerana beraksi di Stadium Larkin tetapi kami
akan pastikan mampu beraksi sebaik mungkin dan kalau rezeki berpihak kepada
kami pada tahun ini, Piala Sumbangsih akan ke Darul Aman,” katanya.
Mengulas mengenai persiapan Kedah, Baddrol berkata semua pemain telah
menjalani latihan rapi dan tersusun yang diatur oleh jurulatih baru Kedah dari
Sepanyol, Ramon Marcote.
“Berbanding tahun lepas, kali ini kami banyak mengikuti taktikal dan
latihan baru yang diperkenalkan oleh jurulatih baru dan kami dapat rasakan
corak dan perubahan dalam permainan pada perlawanan pra musim yang lalu.
“Mengenai tonggak pemain import yang mengalami kecederaan, saya berharap
mereka pulih dengan segera dan kepada pemain muda saya yakin mereka mampu
mengikuti perancangan yang dilakukan oleh ketua jurulatih.”
Dalam semua perlawanan pra musim yang bermula sejak 8 Januari lalu,
Marcote menggabungkan corak taktikal pemain senior dan muda dalam pasukan dan
ini adalah sebahagian strategi baru yang akan digunakan Kedah pada perlawanan
pembukaan di Larkin nanti.
SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 January 2018 @ 5:57 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan