
Izzali Ismail
sukanteam@nstp.com.my
KEDAH mencatatkan kemenangan
sulung di laman sendiri, musim ini apabila menewaskan Negeri Sembilan 1-0 di
Stadium Darul Aman pada aksi pusingan kedua Piala FA, malam tadi.
Kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar
muncul wira pasukannya apabila meledak jaringan tunggal pada minit ke-119
selepas Negeri Sembilan mengheret permainan ke masa tambahan.
Berpunca daripada hantaran bijak
pemain gantian Syazwan Zainon ke tengah kawasan penalti pelawat, Baddrol bijak
meloloskan diri untuk menewaskan penjaga gawang Negeri Sembilan, Ilham
Amirullah.
Permainan bermula rancak sebaik
wisel ditiupkan dengan pelawat memulakan asakan dengan percubaan seawal minit
ke-2 oleh Mony Udom namun rembatannya lemah dan mudah diselamatkan penjaga gol
Kedah, Ifwat Akmal.
BADDROL meraikan jaringan
kemenangan di Stadium Darul Aman. FOTO/SHARUL HAFIZ ZAM
Skuad kendalian Ramon Marcote
yang mempertaruhkan Sandro Da Silva sebagai penyerang utama mula membuat
gerakan bahaya ke pintu gol lawan melalui percubaan pada minit ke-11 tetapi
berjaya diselamatkan Ilham.
Pada minit ke-16, Sandro sekali
lagi terlepas peluang mencetak gol berpunca daripada sepakan percuma namun
percubaannya mudah dibaca penjaga gawang lawan dan cubaannya enam minit sebelum
babak pertama berakhir juga tersasar.
Pada babak kedua, Kedah
meneruskan rentak menyerang namun pelawat hampir mencipta kejutan apabila
gerakan pantas Mony Udom gagal disudahkan apabila percubaan tersasar ke
bahagian kiri pintu gol Kedah.
Gerakan bahaya yang digerakkan
Kedah melalui sayap kanan Andik Vermansyah juga kerap mengucar kacirkan
pertahanan lawan namun masih gagal menghasilkan gol.
Baddrol turut mencemaskan gawang
Negeri Sembilan dengan dua cubaan yang baik namun tetap buntu sekali gus
mengheret permainan ke masa tambahan.
Pada masa tambahan Kedah terus
mempamerkan corak menyerang dan memiliki deretan peluang melalui Sandro,
Liridon, Andik dan Baddrol tetapi ia gagal menghasilkan jaringan sehingga gol
yang diburu muncul seminit sebelum perlawanan terpaksa ditentukan menerusi
penentuan penalti.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada
: Sabtu, 3 Mac 2018 @ 12:21 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan